Volkswagen Golf R Mk8 Diperkenalkan Secara Rasmi
Memperkenalkan, model Volkswagen Golf produksi paling berkuasa pernah dihasilkan, Golf R Mk8. Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.7 saat manakala kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik kepada 250 km/j.
Prestasi yang mengagumkan itu disumbangkan oleh enjin EA888 (evo4) 2.0-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 315 hp dan 420 Nm, iaitu 19 hp dan 40 Nm lebih tinggi berbanding Golf R Mk7. Ia digandingkan dengan transmisi manual enam kelajuan, manakala transmisi DSG tujuh kelajuan ditawarkan secara pilihan.
Seperti sebelum ini, sistem pacuan semua roda 4Motion didatangkan secara standard. Sistem ini telah dipertingkatkan – ia bukan sahaja boleh membahagikan tork antara tayar hadapan dan belakang, malah juga antara tayar kiri dan kanan. Ia boleh menyalurkan sehingga 100% tork ke tayar sebelah luar bagi mengurangkan kesan ‘understeer’.
Selain itu, Volkswagen turut memperlengkapkan model ini dengan stereng dengan nisbah boleh ubah dan sistem suspensi yang lebih rendah (-20 mm). Jika dibandingkan dengan model terdahulu, kadar gegelung dan ‘anti-roll bar’ pada Golf R Mk8 telah dinaikkan sebanyak 10%.
Vehicle Dynamics Manager ditugaskan untuk mengawal ‘differential’ elektronik (XDS), sistem peredam DCC dan juga 4Motion. Selain mod Comfort, Sport, Race dan Individual, Golf R baharu ini juga dilengkapi dengan mod Special dan Drift.
Dalm mod Special, semua parameter sistem pemanduan, termasuk 4Motion, dikonfigurasikan untuk litar Nurburgring Nordschleife. Menerusi ujian yang dilakukan oleh Volkswagen, Golf R baharu (versi DSG) didapati 17 saat lebih pantas di litar tersebut berbanding versi terdahulu.
Sementara itu, mod Drift pula membolehkan pemandu melakukan aksi ‘drift’ dengan memberikan tetapan khas pada ESC dan sistem 4Motion.
Untuk prestasi brek yang lebih meyakinkan, Volkswagen menggunakan cakera yang lebih besar dan tebal yang berukuran 358 mm di hadapan. Cakera tersebut dipadankan dengan angkup dua piston aluminium yang dikatakan 60% lebih ringan pada setiap sisi.
Golf R akan memasuki pasaran Amerika Syarikat pada akhir tahun hadapan. Antara saingan utamanya adalah BMW M135i, Mercedes-AMG A35 dan Audi S3.
No Comment