Yamaha MT-15 Masuk Pasaran Malaysia – RM11,988
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah melancarkan secara rasmi model paling kecil dalam siri MT iaitu MT-15.
Diposisikan di bawah MT-25, MT-07 dan MT-09, model terbaru ini tampil dengan enjin sejukan cecair SOHC silinder tunggal bersesaran 155 cc yang dilengkapi dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA). Enjin tersebut menjana 19.3 PS pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm pada 8,500 rpm.
Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi enam kelajuan yang dipadankan dengan klac jenis ‘Assist & Slipper’ untuk penukaran gear yang lebih cepat dan lancar.
Seperti model MT yang lain, MT-15 mempunyai rangka Deltabox yang digabungkan dengan lengan ayun yang diperbuat daripada aluminium. Di bahagian hadapan, terdapat fork terbalik yang dikatakan dapat memberikan tindak balas yang cepat ketika mengambil selekoh.
MT-15 dilengkapi dengan brek jenis cakera pada bahagian hadapan dan belakang, dengan rim 17 inci yang dipadankan dengan tayar bersaiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Ia mempunyai tangki bahan api berkapasiti 10 liter dan berat keseluruhan adalah 133 kg. Turut disertakan adalah lampu LED berkembar dan panel meter LCD.
Boleh didapati dalam warna Ice Fluo dan Yamaha Blue, MT-15 dijual pada harga RM11,988 tidak termasuk insurans dan pendaftaran. Setiap pembelian didatangkan dengan hadiah percuma iaitu rantai kunci piuter Royal Selangor dan kunci cakera brek.
No Comment