Motosikal / Skuter / Roda

Yamaha Tracer 9 (2021) Diperkenalkan Dengan Enjin Crossplane Baharu

Lima tahun lalu, Yamaha menjejakkan kaki ke dalam segmen ‘sports touring’ dengan Tracer 900. Kini, motosikal itu telah diberikan kemaskini yang komprehensif serta nama baharu iaitu Tracer 9. Turut diperkenalkan adalah versi GT yang menampilkan tahap kelengkapan yang lebih tinggi.

Seperti MT-09 baharu, Tracer 9 dikuasakan oleh enjin CP3 890 cc, tiga silinder sebaris yang menghasilkan 119 PS pada 10,000 rpm dan 93 Nm pada 7,000 rpm. Kuasa kuda meningkat sebanyak 4 PS manakala tork adalah 7% lebih tinggi dan memuncak 1,500 rpm lebih rendah dalam julat rev. Walaupun bersesaran lebih tingi, enjin crossplane baharu ini sebenarnya 1.7 kg lebih ringan.

Untuk 2021, enjin tersebut mendapat sistem suntikan baharu yang meningkatkan kecekapan bahan api sebanyak 9%, sistem ekzos yang 1.4 kg lebih ringan, serta cagak enjin baharu yang memberikan keseimbangan dari segi ketegaran untuk prestasi pengendalian yang optimum.

Casis Deltabox turut disemak semula, di mana enjin kini dipasang pada sudut lebih tegak pada 52.3 darjah, berbanding 47.5 darjah pada model terdahulu. Terdapat juga lengan ayun aluminium baharu yang memberikan jarak tapak roda 1,500 mm, sama seperti sebelum ini.

Sistem suspensi terdiri daripada fork 41 mm dan penyerap hentak boleh laras yang direka semula supaya sesuai dengan casis dan lengan ayun tersebut. Tracer 9 GT mendapat sistem semi-aktif yang dikawal secara elektronik yang dikenali sebagai KYB Actimatic Damper System (KADS), di samping kotak simpanan sisi, sistem Quick Shift, lampu belokan LED dan pemanas grip.

Dari segi elektronik, Tracer 9 GT dilengkapi dengan Unit Pengukuran Inersia (IMU) enam paksi yang asalnya dibangunkan untuk R1. Sistem ini mengukur pecutan, ‘pitch’, ‘roll’ dan ‘yaw’, serta mengawal sistem Traction Control, Slide Control, Lift Control dan Brake Control.

Yamaha D-Mode menawarkan empat mod tunggangan, berbanding tiga sebelum ini. Mod 1 memberikan respon enjin yang agresif, Mod 2 adalah tetapan untuk pelbagai jenis tunggangan, Mod 3 ideal untuk tunggangan yang lebih santai manakala Mod 4 adalah untuk cuaca basah.

Skrin TFT berkembar berukuran 3.5 inci memaparkan pelbagai maklumat penting berkaitan motosikal yang diperlukan oleh penunggang. Tachometer, speedometer, tolok bahan api, posisi gear dan Traction Control dipaparkan pada sebelah kiri, manakala skrin sebelah kanan dibahagikan kepada empat, setiap satu menunjukkan maklumat seperti odometer, tripmeter, suhu dan pelbagai lagi.

Previous post

15 Kajian Reka Bentuk Porsche yang Tidak Pernah Dilihat Dan Di Mana Anda Boleh Melihatnya

Next post

Subaru Perkenal BRZ Generasi Kedua

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *