ABT Hasilkan Pakej Talaan Untuk Audi S3
Buat masa ini, barisan Audi A3 diketuai oleh model S3 yang mempunyai 310 PS dan 400 Nm. Mereka yang mahukan sesuatu yang lebih berkuasa perlu menunggu ketibaan RS3 namun bagi mereka yang tidak mampu bersabar, ABT telah memperkenalkan pakej talaan prestasi yang boleh menjadikan jentera hatchback itu lebih berbisa.
Dengan menggunakan ABT Power Control, kuasa yang dihasilkan oleh enjin TFSI 2.0-liter empat silinder S3 melonjak ke 370 PS dan 450 Nm, iaitu 60 PS dan 50 Nm lebih tinggi berbanding standard. Walaupun tidak sehebat model RS3 generasi terdahulu, ia sekurang-kurangnya dapat merapatkan jurang antara dua model itu.
ABT tidak menyatakan sebarang angka mengenai prestasi namun dengan peningkatan kuasa yang boleh dikatakan signifikan itu, ia sudah pasti lebih pantas. Untuk perbandingan, S3 standard mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.8 saat dan mempunyai kelajuan maksimum 250 km/j.
Bagi menjadikan jentera mereka kedengaran lebih garang, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan sistem ekzos keluli tahan karat yang mempunyai empat muncung hitam matte berukuran 102 mm.
Selain talaan enjin, ABT turut menawarkan penambahbaikan aspek kosmetik yang membabitkan rim yang boleh didapati dalam beberapa rekaan, saiz dan kemasan termasuk Sport GR 20 inci, Sport FR 20 inci dan ER-C 19 inci. Turut ditawarkan adalah penutup butang penghidup enjin dengan logo ABT yang menyala.
No Comment