Aston Martin DBS Superleggera – Pentland Green Dilancarkan
Selepas pelancaran DBX Intrepid Aura pada bulan lalu, Aston Martin Kuala Lumpur kini menambah satu lagi model custom dalam barisannya iaitu DBS Superleggera – Pentland Green. Penawaran terbaru syarikat itu ditawarkan pada harga RM1,450,000 (tidak termasuk duti dan cukai), lebih mahal berbanding versi standard yang dijual pada harga RM1,228,000.
Jadi, untuk perbezaan harga sebanyak RM220,000 anda akan mendapat sebuah DBS Superleggera yang didatangkan dalam warna khas Pentland Green yang dipilih dari katalog Q Heritage Palette Collections, dengan rim aloi berukuran 21 inci dalam kemasan dua tona. Tersembunyi di sebalik rim tersebut adalah angkup berwarna gangsa yang ditugaskan untuk mencengkam cakera karbon seramik yang disertakan secara standard.
Masuk ke bahagian dalam, terdapat upholsteri kulit Caithness berwarna tembaga yang dihiasi dengan jahitan kontras berwarna perang (Sahara Tan), kemasan siling Alcantara Sahara Tan, logo DBS yang disulam pada perehat kepala serta kemasan Tamo Ash Dyed Open Pore pada papan pemuka. Turut disertakan adalah Satin Silver Jewellery Pack yang meningkatkan lagi suasana mewah di dalam kabin.
Di bawah hud, DBS Superleggera – Pentland Green mengekalkan enjin yang sama dengan versi standard iaitu enjin 5.2-liter biturbo V12 yang menjana 725 PS pada 6,500 rpm dan 900 Nm dari 1,800 hingga 5,000 rpm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.4 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 340 km/j.
Untuk ketenangan minda pemilik, Aston Martin Kuala Lumpur akan turut memberikan waranti pengeluar selama tiga tahun dengan waranti lanjutan Aston Martin selama 24 bulan secara percuma, serta penyelenggaraan percuma selama lima tahun.
No Comment