Aston Martin Perkenal DBX Bowmore Edition
Divisyen personalisasi Aston Martin iaitu Q by Aston Martin telah memperkenalkan satu lagi model edisi terhad iaitu DBX Bowmore Edition yang terhad kepada 18 unit sahaja.
Dihasilkan menerusi kerjasama antara Aston Martin dan pengeluar wiski dari Scotland iaitu Bowmore, SUV berprestasi tinggi itu memakai warna eksklusif Bowmore Blue dengan kemasan tembaga pada bahagian sisi. Sebagai pilihan alternatif, pelanggan boleh mendapatkan warna Xenon Grey yang mempunyai bintik-bintik biru metalik, bersama-sama dengan angkup brek berwarna hitam.
Di dalam, pengaruh kilang penyulingan itu dan kepulauan Islay, di mana kilang itu terletak, ditampilkan menerusi penggunaan trim biru dan tembaga, serta upholsteri Bowmore Tweed. Selain itu, terdapat juga beberapa perincian reka bentuk Q by Aston Martin seperti pemegang cawan tembaga dan plak ambang pintu, yang diperbuat daripada tembaga yang dikitar semula.
Seperti versi standard, DBX Bowmore Edition dikuasakan oleh enjin 4.0-liter dwi-turbo V8 yang menghasilkan 550 PS dan 700 Nm. Kuasa disalurkan ke tanah menerusi transmisi automatik sembilan kelajuan yang dipadankan dengan sistem pacuan semua roda, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 291 km/j.
Setiap pemilik DBX Bowmore Edition akan menerima kenderaan mereka dengan penuh gaya menerusi acara eksklusif Aston Martin Art of Living, di mana mereka akan mengembara sejauh 273 km melalui kawasan perkampungan Scotland dan melawat kilang fabrik Islay Woollen Mill dan juga kilang penyulingan Bowmore.
No Comment