Hanya Bayar RM99 Untuk Pra-Tempah Kereta Honda Dalam Talian
Honda Malaysia terus meningkatkan ‘Keseronokan Membeli’ untuk pelanggan mereka dengan memperkenalkan platform pra-tempahan dalam talian baharu.
Menerusi platform ini, pelanggan kini boleh membuat pra-tempahan bagi model pilihan mereka dengan bayaran minimum hanya RM99 dalam empat langkah mudah di laman web rasmi Honda Malaysia, serta menjejak status tempahan mereka dari rumah.
Pertama sekali, pelanggan perlu memilih lokasi pengedar yang terdekat dengan mereka. Seterusnya, mereka akan diminta untuk mengisi maklumat peribadi dan memilih model yang diminati termasuk varian, warna dan aksesori. Kemudian, pelanggan akan dibawa ke halaman di mana mereka boleh melihat semula semua maklumat dan pilihan yang telah dibuat.
Selepas membuat bayaran, pelanggan akan menerima emel pengesahan yang mengandungi semua maklumat penting termasuk perincian pengedar yang telah menerima bayaran tersebut serta nombor rujukan. Setelah mengemukakan butiran pra-tempahan, pelanggan akan dihubungi oleh penasihat jualan dari pengedar yang dipilih dalam masa 72 jam.
Fungsi pra-tempahan ini disertakan di dalam seksyen membeli-belah laman web Honda Malaysia di samping kalkulator pinjaman, perbandingan model dan Honda Insurance Plus. Ia juga akan disediakan dalam aplikasi mudah alih HondaTouch menjelang awal tahun hadapan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, “Platform pra-tempahan kenderaan baharu dalam talian ini adalah sebahagian daripada usaha Honda Malaysia untuk menawarkan akses lebih besar kepada pelanggan untuk memiliki kereta Honda dalam digital era ini menerusi proses pembelian kereta dalam talian.”
No Comment