Hennessey Venom F5 Sasar Kelajuan Maksimum 500 Km/j
Pencabar Bugatti Chiron dari Amerika Syarikat iaitu Hennessey Venom F5 akhirnya diperkenalkan secara rasmi tiga tahun selepas ia diumumkan. Hanya 24 unit akan dihasilkan dan setiap satu dikatakan berharga $2.1 juta.
Venom F5 dikuasakan oleh enjin 6.6-liter twin-turbo V8 yang mampu menghasilkan 1,817 hp dan 1,617 Nm, menjadikannya antara hypercar paling berkuasa di dunia. Digelar sebagai Fury, enjin ini menggunakan blok besi tuang, kepala silinder aluminium dan injap ambilan titanium. Ia juga mempunyai injap ekzos yang diperbuat daripada Inconel dan pengecas turbo galas bebola yang mampu membekalkan boost sehingga 1.58 bar.
Tugas untuk menyalurkan kuasa ke roda belakang diserahkan oleh transmisi automatik tujuh kelajuan. Menurut Hennessey, Venom F5 memerlukan kurang dari tiga saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j, dan 4.7 saat untuk mencapai kelajuan 200 km/j. Kelajuan maksimum yang disasarkan adalah 500 km/j.
Selain kuasa yang tinggi, Hennessey turut memberi tumpuan terhadap berat keseluruhan jentera ini. Syarikat itu menggunakan monocoque gentian karbon yang dibina oleh KS Composites dari UK, manakala subframe dan bumbung diperbuat daripada aluminium. Hasilnya, berat kering Venom F5 cuma 1,360 kg.
Ruang dalaman dilihat menampilkan rekaan minimalis dengan papan pemuka yang ringkas dan konsol tengah yang langsing. Selain itu, terdapat juga stereng ala F1 yang dikatakan dapat membantu penglihatan pemandu dan tempat duduk gentian karbon.
Venom F5 mempunyai lima mod pemanduan iaitu Spot, Track, Drag, Wet dan F5. Mod F5 adalah untuk memanfaatkan kuasa jentera ini sepenuhnya bagi mencapai kelajuan maksimum. Kuasa membrek pula dibekalkan oleh cakera karbon seramik berukuran 15.35 inci dengan angkup enam piston di hadapan dan empat piston di belakang.
No Comment