Honda CB500X (2021) Tampil Tiga Warna Baharu
Untuk model tahun 2021, Honda CB500X boleh didapati dalam tiga warna baharu iaitu Matte Gunpowder Black Metallic, Grand Prix Red dan Pearl Metalloid White, dengan subframe berwarna merah sebagai tribut kepada model Africa Twin.
Bagaimanapun, tiada perubahan dari aspek mekanikal. Kuasa masih dibekalkan oleh enjin silinder kembar selari berkapasiti 471 cc yang menghasilkan 49.75 hp pada 8,500 rpm dan 44.7 Nm tork pada 7,000 rpm. Kuasa disalurkan menerusi transmisi enam kelajuan dengan klac Assist/Slipper yang memudahkan penukaran gear.
Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik pada bahagian hadapan dan suspensi jenis monoshock Pro-Link pada bahagian belakang. Sistem brek pula merangkumi cakera berukuran 310 mm dengan angkup dua piston di hadapan, dan cakera 240 mm dengan angkup satu piston di belakang. ABS disertakan secara standard.
Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan lampu LED, lampu isyarat berhenti kecemasan (ESS) dan paparan isntrumen LCD dengan penunjuk kedudukan gear.
CB500X 2021 dijual pada harga RM36,099 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran). Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.
No Comment