Jeep Wrangler Rubicon Lego Technic Masuk Pasaran Tahun Hadapan
Hanya beberapa hari selepas memperkenalkan kit McLaren Senna GTR, Lego kini kembali dengan satu lagi kit dalam siri Technic iaitu Jeep Wrangler Rubicon. Ia bakal memasuki pasaran bermula tahun hadapan pada harga $49.99 (kira-kira RM203).
Kit ini mengandungi 665 kepingan kesemuanya, berserta beberapa perincian yang menarik seperti pintu dan hud yang boleh dibuka, tempat duduk belakang yang boleh dilipat, tayar ganti bersaiz penuh, takal serta pelekat Jeep dan Rubicon. Skema warna hitam dan kuning akan menjadikan ia menonjol di kalangan model-model Technic yang lain.
Selain itu, ia juga mempunyai operasi stereng yang terletak pada bahagian belakang. Anda juga boleh menguji kemampuan gandar dan sistem suspensi model ini dengan membuat laluan berhalangan sendiri di sekitar rumah.
Apabila siap dipasang, permainan jentera off-road ini mempunyai ukuran panjang 24 cm, tinggi 12 cm dan lebar 13 cm. Ini menjadikannya lebih kecil berbanding Land Rover Defender yang diperkenalkan pada tahun lalu. Namun harus diingat bahawa kit tersebut mengandungi 2,573 kepingan Lego dan ianya juga lebih mahal.
No Comment