KPDNHEP Terima 16 Unit Honda Civic 1.8S
Honda Malaysia hari ini mengumumkan penyerahan 16 unit Honda Civic 1.8S kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Ini merupakan kali pertama model Honda diserahkan untuk kegunaan Kementerian tersebut.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, “Bagi pihak Honda Malaysia, kami rasa berbangga kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah memilih Civic sebagai kereta pilihan dalam melaksanakan tugas mereka.”
“Kami juga menghargai peranan penting Kementerian dalam mempromosikan dan melestarikan perdagangan domestik di Malaysia, yang penting kerana kita masih menghadapi cabaran untuk meningkatkan ekonomi Malaysia yang terjejas teruk oleh wabak COVID-19,” tambah beliau.
Diperkenalkan pada Februari tahun ini, Honda Civic generasi ke-10 facelift menawarkan ciri-ciri segmen D di dalam model segmen C. Enjin 1.8 liter i-VTEC pada varian 1.8S menghasilkan 141 PS dan 174 Nm, dan digandingkan dengan CVT.
Dari segi keselamatan, Civic yang mendapat penarafan lima bintang ASEAN NCAP menampilkan ciri-ciri seperti enam beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA), Agile Handle Assist (AHA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS), Anti-lock Braking System (ABS), Brake Assist (BA) dan Auto Brake Hold (ABH).
Menurut Honda Malaysia, sejak pelancarannya, telah terjual melebihi 10,400 unit dengan perkongsian pasaran sebanyak 81%, sekaligus menjadikannya pendahulu segmen C setakat Oktober 2020.
No Comment