MINI Bangunkan Model John Cooper Works Versi Elektrik
MINI melangkah masuk ke dalam segmen elektrik pada tahun lalu dan biarpun jarak pemanduan yang ditawarkan tidak begitu mengagumkan, peminat jenama itu cukup gembira kerana buat pertama kalinya mereka mempunyai pilihan elektrik sepenuhnya. Ini terbukti di Malaysia, apabila kesemua 26 unit MINI Electric habis dijual dalam masa dua bulan selepas ia dilancarkan.
Kini, MINI akan membawa platform elektrik ini ke satu tahap yang lebih tinggi menerusi model John Cooper Works (JCW) yang sedang berada dalam fasa pembangunan. Setakat ini, tiada perincian teknikal didedahkan namun MINI telah berkongsi beberapa gambar yang menunjukkan model itu sedang diuji di litar Nurburgring.
Walaupun masih memakai pelekat penyamaran, model itu jelas mempunyai elemen-elemen rekaan yang diambil dari JCW GP seperti rim empat batang, dapra hadapan dan belakang yang lebar serta spoiler belakang gergasi. Bagaimanapun, gril hadapan yang tertutup, ketiadaan muncung ekzos dan angkup berwarna kuning menunjukkan bahawa ia bukan model enjin pembakaran dalam.
Sesuai dengan lencana JCW yang dipakai olehnya, ia dijangka hadir dengan tahap prestasi yang lebih tinggi berbanding model Electric yang mempunyai sebuah motor elektrik dengan 184 hp (135 kW) dan 270 Nm.
No Comment