Pandu Uji: Honda Accord 1.5 TC-P
Selain Civic, satu lagi model yang banyak membantu menaikkan nama Honda adalah Accord. Diperkenalkan buat pertama kali pada 1976, Accord dilihat menjadi pilihan utama bagi golongan profesional dari kelas pertengahan dan pertengahan atas yang inginkan sebuah sedan famili yang bergaya, tidak terlampau mahal dan boleh diharap.
44 tahun selepas dilahirkan, Accord kini memasuki generasi ke-10 dan tidak seperti generasi-generasi terdahulu, sedan segmen D ini tampil dengan reka bentuk ‘fastback’ yang sebelum ini lebih gemar digunakan oleh pengeluar-pengeluar dari Jerman seperti Audi. Ini secara tidak langsung membuatkan ia kelihatan lebih premium dan bergaya berbanding pesaing-pesaing terdekatnya yang masih mengekalkan rekaan tiga kotak yang konvensional.
Seperti yang boleh dilihat, wajah sedan ‘flagship’ Honda ini tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan wajah Civic dengan sayap krom yang besar dan menonjol yang diintegrasikan ke dalam lampu utama yang langsing. Dari sisi, jalur krom pada bahagian bawah dan rim 18 inci menyerlahkan lagi profilnya manakala di belakang pula terdapat sepasang lampu berbentuk C.
Dari segi saiz, Accord baharu lebih panjang, lebar dan rendah jika dibandingkan dengan model generasi ke-9 dengan ukuran panjang 4,901 mm, lebar 1,862 mm dan tinggi 1,450 mm. Sementara itu, ukuran jarak tapak roda atau ‘wheelbase’ bertambah sebanyak 55 mm kepada 2,830 mm.
Seperti yang dijangka, jarak tapak roda yang lebih besar menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas dan selesa. Ini dapat dirasakan dengan lebih jelas apabila anda duduk di belakang, di mana ruang lega kaki boleh dikatakan lebih dari mencukupi. Walaupun mempunyai garis bumbung yang agak rendah, ruang lega kepala masih luas kerana posisi tempat duduk yang agak rendah.
Ruang simpanan juga banyak disediakan. Selain kotak simpanan pada konsol tengah yang boleh memuatkan bermacam benda, penumpang juga boleh menyimpan botol minuman dan barang-barang peribadi mereka pada ruang simpanan di panel pintu. Di belakang, ruang but berkapasiti 570 liter sudah pasti boleh memenuhi keperluan mereka yang ingin pulang ke kampung atau pergi bercuti bersama keluarga. Tetapi untuk sebuah sedan yang berharga hampir RM200,000, Honda Malaysia sepatutnya menyediakan ciri but automatik.
Rekaan ruang kokpit Accord kemas dan teratur, namun tidaklah begitu istimewa jika hendak dibandingkan dengan kokpit Toyota Camry, Mazda6 atau Hyundai Sonata yang dilancarkan baru-baru ini. Secara keseluruhannya, kualiti binaan pada papan pemuka, panel pintu dan konsol tengah sangat memuaskan manakala skrin sentuh, tombol kawalan sistem pendingin hawa dan butang-butang lain mudah dicapai. Pendek kata, penulis tidak mempunyai banyak rungutan mengenai ruang dalaman model ini.
Mengikuti jejak langkah Civic dan CR-V, Accord kini tampil dengan enjin 1.5-liter VTEC Turbo empat silinder yang digandingkan dengan CVT yang menggerakkan roda hadapan. Bagaimanapun, tidak seperti model-model tersebut, Accord mempunyai kuasa yang lebih tinggi iaitu 201 PS dan 260 Nm. Secara ringkasnya, kuasa yang dibekalkan ternyata cukup untuk menggerakkan sedan ini dengan cepat tangkas, terutamanya apabila hendak memotong.
Bagaimanapun, jangan biarkan penggunaan nama ‘VTEC Turbo’ itu membuatkan anda fikir yang enjin itu ditala untuk pemanduan agresif. Sepanjang tiga hari memandu uji model ini, penulis dapat merasakan yang ia lebih sesuai untuk corak pemanduan yang lebih santai, sama ada ketika memandu di dalam bandar atau di lebuh raya. Secara peribadi, penulis masih dapat merasakan prestasi yang optimum walaupun dengan jarum rpm berada di antara 1,500 dan 2,000 rpm sahaja.
Dari segi pengendalian, tidak dinafikan yang Accord sememangnya antara yang paling selesa dalam kelasnya dengan karakteristik redaman yang seimbang. Namun seperti yang dikatakan, ia bukanlah sedan yang ditala untuk pemanduan yang agresif. Ini dapat dirasakan apabila penulis mengambil selekoh pada kelajuan yang lebih tinggi dari kebiasaannya. Tetapi jika dikendalikan secara normal, anda akan dapat rasakan kelebihan sebenar kereta ini.
Bercakap tentang kelebihan, varian 1.5 TC-P yang dipandu uji ini dilengkapi dengan sistem keselamatan dan bantuan pemandu Honda Sensing yang merangkumi Lane Departure Warning, Lane Keeping Assist, Road Departure Mitigation, Collision Mitigation Braking System, Forward Collision Warning dan Low Speed Follow.
Selain itu, terdapat juga Smart Parking Assist System, Cross Traffic Monitor, Honda LaneWatch dan kamera 360 darjah. Kehadiran ciri-ciri ini sedikit sebanyak menjadikan pemanduan lebih mudah, terutamanya LaneWatch yang membolehkan anda menukar lorong dengan lebih yakin.
Accord pada hemat penulis adalah sebuah sedan yang cukup lengkap. Rupa, ruang, prestasi dan ciri keselamatan – semuanya ada pada model ini. Namun, dengan harga RM195,900, tidak mengejutkan jika ramai mengalihkan pandangan mereka kepada CR-V yang menawarkan kelebihan yang sama pada harga yang jauh lebih murah.
Spesifikasi Honda Accord 1.5 TC-P
Enjin: VTEC Turbo empat silinder
Kapasiti: 1,498 cc
Kuasa: 201 PS @ 5,500 rpm
Tork: 260 Nm @ 1,600 rpm
Transmisi: CVT
0-100 km/j: 9.1 saat
Kelajuan maksimum: 190 km/j
Harga: RM195,900 termasuk SST
No Comment