Angka-Tan Motor Sdn Bhd Lancar Siri Trak Super Tugas Ringan
Dibina hasil kerjasama rantaian pembekal automotif global terbaik, siri trak Foton Aumark S melangkaui batasan dalam segmen trak tugas ringan: menjanjikan keselamatan, pelbagai guna, kuasa, kecekapan dan ketahanan
Pengedar tunggal eksklusif trak Foton di Malaysia, Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM) – anak syarikat Warisan TC Holdings dan ahli Tan Chong Group – secara rasmi melancarkan trak super tugas ringan Foton Aumark S Series serba baharu di pasaran Malaysia.
Siri trak tugas ringan Foton Aumark S dibangunkan di bawah program Foton Super Truck. Ia merupakan hasil kerjasama Foton dengan rakan-rakan di dalam “Pakatan Inovasi Trak Super Global”. Pakatan itu ditubuhkan bersama peneraju teknologi trak dunia seperti Cummins, ZF Friedrichshafen (ZF), WABCO, Bosch dan banyak lagi.
Dikuasakan oleh enjin Cummins ISF 3.8l generasi baru, model Foton Aumark S BJ1088 mampu menawarkan kuasa 115kW dan tork 500Nm. Digabungkan bersama pengecas turbo dan fungsi penyejuk dalaman (intercooler) melalui sistem pancitan bahan api Bosch, enjin Cummins ISF dapat memberikan trak ini satu rangkaian kuasa premium yang tidak dijumpai dalam mana-mana trak tugas ringan lain.
Prestasi enjin Cummins itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh kotak gear manual ZF dengan 6-kelajuan yang menawarkan penukaran gear yang lancar dan cekap. Perumah kotak gear aluminium aloi yang ringan dan nisbah gear yang dioptimumkan juga mengurangkan penggunaan bahan api dengan efektif. Manakala reka bentuk turbin gear yang dioptimumkan dapat mengurangkan bunyi bising dengan berkesan.
Dibina dengan standard keselamatan Eropah, siri trak Aumark S direka dan dilengkapi ciri keselamatan aktif dan pasif yang telah diuji serta mematuhi piawaian keselamatan automotif ECE.
Aumark S model BJ1078 ditawarkan pada harga RM101,000 manakala model BJ1088 pula berharga RM108,000. Trak-trak itu hadir dengan jaminan selama lima tahun atau jarak perbatuan sejauh 200,000km (mana-mana tiba dahulu). Sempena pelancarannya, Angka-Tan Motor akan memberikan diskaun sebanyak RM5,000 untuk 100 unit terawal. Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian 03-56386888.
Maklumat lanjut, sila layari laman web mereka: http://www.foton-global.com.
KENYATAAN MEDIA
“Jenama-jenama global bekerjasama dengan Foton dalam menggabungkan aspek sains dan teknologi untuk menghasilkan sistem rangkaian kuasa serta integrasi kenderaan yang optimum. Ini termasuk teknologi penjimatan bahan api bagi menyokong pemuliharaan alam sekitar dan kenderaan komersial termaju yang terhubung secara pintar untuk menerajui trend logistik yang efisien.
“Hasilnya, kami mampu menghasil dan memperkenalkan siri trak Aumark S serba baharu yang diterima baik oleh pasaran trak super tugas ringan di seluruh dunia,” kata Naib Presiden Eksekutif Foton International Trade Co., Ltd. Beijing, Wang Jianjun.
Ketua Pegawai Ekskutif Warisan TC Holdings Bhd, Tan Keng Meng berkata, “Angka-Tan Motor Sdn Bhd berbesar hati memperkenalkan salah sebuah trak tugas ringan yang teknologi canggih dan yang dijangka menetapkan penanda aras di dalam industri. Siri trak Foton Aumark S serba baharu dibangun menggunakan rangkaian kuasa Cummins ISF berprestasi tinggi, kotak gear ZF, sistem brek WABCO dan inovasi global lain yang cukup dikenali.
“Ia merupakan sebuah trak super tugas ringan yang akan menunaikan janjinya sebagai sebuah trak Foton SUPER yang memenuhi aspek-aspek Keselamatan, Pelbagai guna, Kuasa, Kecekapan dan Ketahanan! Adalah ketara trak ini telah meningkatkan taraf kebiasaan trak tugas ringan,” kata Tan.
Pengurus Besar Kanan Angka-Tan Motor Sdn. Bhd., Danny Ng berkata, “Aspek keselamatan amat penting pada siri trak super tugas ringan Foton Aumark S. Trak ini dibina menggunakan proses pengilangan yang sangat ketat. Ia juga telah melalui semua ujian pelanggaran yang perlu untuk memperoleh standard global ECE R29.
“Ujian sejauh 1.6 juta kilometer melibatkan pelbagai permukaan jalan, cuaca dan altitud berbeza membuktikan keupayaan teknologi dari segi kawalan pintar, keselamatan, penjimatan bahan api serta pengalaman pemanduan yang lancar oleh siri trak Foton Aumark S,” katanya lagi.
Ciri keselamatan aktif yang ada pada trak ini termasuklah sistem brek, lampu, pandangan pemanduan dan banyak lagi. Sistem brek berprestasi tinggi itu dijana oleh injap brek utama yang mengadaptasi penyelesaian kawalan brek WABCO yang berfungsi meningkatkan keselamatan dan tahap kecekapan membrek, walaupun dalam kondisi ekstrem.
Foton Aumark S turut dilengkapi lampu utama yang boleh dilaras secara elektrik. Lampu tersebut mempunyai struktur lensa untuk lampu rendah, pancaran cahaya yang padat pada kadar 50,000 kandela atau 25 kali lebih terang daripada cahaya matahari di waktu siang.
Satu lagi ciri tambahan yang memaksimumkan aspek keselamatan ialah radar undur pintar dengan empat alat pengesan. Ia mampu mengesan apa jua halangan dalam jarak 1.8 meter yang ada di belakang Aumark S ketika pemandu mengundur.
Siri trak Foton Aumark S serba baharu juga menawarkan reka bentuk chasis baharu dengan penggunaan besi yang kukuh. Di samping dua bahagian aci picu (driveshaft) dan suspensi jenis leaf spring yang lebih stabil serta mampu menampung beban lebih berat.
Struktur badan dibina berasaskan kepada standard Eropah. Lebih 80 peratus kabin trak dibentuk dan dikimpal dengan kepingan besi yang disalut lapisan perlindungan agar lebih kukuh jika berlaku pelanggaran dari hadapan dan atas. Pintu dan kerangka kabin mempunyai plat engsel yang kukuh dan regangan berkekuatan tinggi untuk perlindungan maksimum daripada impak pelanggaran dari sisi.
“Angka-Tan Motor akan menawarkan dua model Aumark S iaitu BJ1078 7.5T dan BJ1088 7.5T/9T. Kedua-dua model itu menawarkan aspek kepintaran yang lebih baik bersama paparan multi-fungsi agar mudah diperasi dan dikendalikan. Ruang kabin trak juga direka secara ergonomik dan luas untuk memberi lebih keselesaan, selain mudah diubah suai untuk memenuhi pelbagai keperluan logistik,” kata Danny Ng.
“Sama ada ia untuk pelanggan yang merupakan pakar logistik dan mahukan penghantaran secekap mungkin atau rantaian bekalan makanan sejuk beku yang memerlukan penghantaran tepat pada masanya atau penghantaran di bandar yang perlukan kecekapan, siri trak Foton Aumark S sememangnya sebuah trak super tugas ringan terbaik untuk memastikan perniagaan dapat dijalankan dengan selamat, efisien dan produktif,” katanya.
“Kami yakin kehadiran trak super tugas ringan ini akan dapat membantu membina asas yang lebih kukuh untuk Angka-Tan Motor, kerjasama Foton dan pengembangan jenama kami di Malaysia,” kata Tan.
No Comment