Ini Dia Toyota Yaris WRC 2021
Pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team telah memperkenalkan Toyota Yaris WRC yang akan digunakan untuk persaingan musim 2021 Kejohanan Rali Dunia FIA.
Menurut pasukan itu, livery yang digunakan oleh hatchback itu hampir sama dengan livery yang dipakai oleh jentera lumba GR010 Hybrid yang bertanding dalam Kejohanan Endurance Dunia (WEC) tahun ini. Ia menggunakan tayar Pirelli selaras dengan pelantikan syarikat dari Itali itu sebagai pembekal tayar rasmi WRC bermula musim ini.
Walaupun tampil dengan skema warna terbaru, Toyota Gazoo Racing berkata bahawa mereka akan mengekalkan pakej jentera itu untuk musim kelimat berturut-turut. Ini adalah kali terakhir pasukan bertanding dibenarkan untuk menggunakan spesifikasi sedia kerana peraturan teknikal baharu akan diperkenalkan bermula 2022.
Setakat ini, Yaris WRC telah merekodkan 17 kemenangan dalam kejohanan rali terkemuka itu. Susulan gelaran juara kategori pengeluar yang dimenangi pada 2018, jentera itu telah merangkul kejuaraan bagi pemandu dan pembantu pemandu pada 2019 dan 2020. Bagi musim ini, Toyota mensasarkan untuk membawa pula semua gelaran yang dipertandingkan.
Musim kali ini menyaksikan Toyota bertanding dengan tiga krew dengan Sébastien Ogier dan Julien Ingrassia sebagai penyandang utama selepas memenangi gelaran dunia ketujuh berturut-turut pada tahun lalu. Menyertai mereka adalah pemenang tempat kedua Elfyn Evans dan Scott Martin, serta pasangan rookie Kalle Rovanperä dan Jonne Halttunen.
Kejohanan Rali Dunia musim 2021 akan membuka tirainya dengan perlumbaan Rallye Monte Carlo dari 21 hingga 24 Januari ini.
No Comment