Adakah Ini Kemalangan GR Yaris Yang Pertama Di Jepun?
Toyota GR Yaris baru sahaja mula dijual di Jepun sekitar empat bulan yang lalu, namun nampaknya seorang individu malang telah pun terlibat dalam kemalangan baru-baru ini.
Gambar-gambar yang dikongsikan oleh laman Facebook M9 Auto menunjukkan sebuah GR Yaris berwarna hitam dengan kerosakan yang agak teruk pada bahagian hadapan dan belakang. Tidak diketahui berapa laju kereta ini dipandu sebelum pelanggaran berlaku namun imapknya cukup kuat sehinggakan bampar hadapannya hampir tercabut.
Fender hadapan sebelah kanan juga mengalami kerosakan yang teruk sementara hud aluminiumnya ranap akibat pelanggaran tersebut. Kedua-dua tayar hadapan tampak masih elok namun kebocoran bendalir yang boleh dilihat dengan jelas bermakna pemilik kereta ini mempunyai masalah yang lebih besar untuk dibimbangkan.
Di belakang, cermin penghadang angin yang pecah serta kehilangan lampu dan panel hitam pada tailgate menunjukkan betapa teruknya impak yang ditanggung oleh GR Yaris ini. Keadaan diffuser dan ekzos juga dilihat tidak begitu baik. Setakat ini, semua tanda menunjukkan bahawa kereta ini mungkin telah dilanggar dari belakang oleh kenderaan lain. Mungkinkah ia terlibat dalam kemalangan berantai?
Apa-apa pun, kerosakan yang dialami oleh GR Yaris boleh menyebabkan ia diisytihar rosak sepenuhnya (total loss) oleh syarikat insurans. Sayang sekali kerana bukan selalu pengeluar kenderaan menghasilkan jentera WRC untuk jalan raya seperti ini dan Toyota hanya akan menghasilkan 25,000 unit GR Yaris. Tambahan pula, jarak perbatuan unit ini baru sahaja mencecah 1,048 km.
Di Jepun, GR Yaris ditawarkan dalam empat gred iaitu RZ, RZ High Performance, RC dan RS. Dijual pada harga 2,650,000 yen, RS merupakan varian ‘entry level’ yang dikuasakan oleh enjin Dynamic Force 1.5-liter tiga silinder dengan CVT Direct-Shift yang memacu roda hadapan.
Sementara itu, pasaran Malaysia pula mendapat kira-kira 200 unit GR Yaris dengan Performance Pack secara standard. Selain enjin turbo 1.6-liter tiga silinder, transmisi manual enam kelajuan dan sistem pacuan semua roda GR Four, ia juga dilengkapi dengan rim BBS 18 inci, Torsen LSD dan suspensi yang lebih keras.
No Comment