Nissan e-NV200 Winter Camper Untuk Ekspedisi Musim Sejuk
Ungkapan “pengembaraan lestari” jarang sekali didengari dalam sektor automotif namun Nissan berharap untuk mengubahnya dengan van konsep e-NV200 Winter Camper mereka.
Dibangunkan khas untuk ekspedisi musim sejuk, Winter Camper dilengkapi dengan sistem suspensi lebih tinggi dan tayar off-road, sekaligus memberikannya jarak pelepasan tanah yang lebih luas jika dibandingkan dengan e-NV200 Evalia yang merupakan model asasnya.
Selain itu, kelengkapan off-road seperti bar keluli, lampu limpah berkembar, pelindung lumpur, pelindung ambang pintu, bar sisi dan alas kaki getah turut disertakan.
Di dalam, terdapat ruang dapur, peti sejuk serta katil yang boleh dilipat. Bumbung yang boleh dinaikkan serta penggunaan kaca bertebat menjadikan ruang kabin lebih luas dan selesa. Semua peralatan elektrik dan kemudahan yang ada dijana oleh pek kuasa 220 volt yang boleh dicas semula dengan panel solar yang di atas bumbung. Ini membolehkan anda pergi ke mana sahaja tanpa perlu risau tentang kehabisan tenaga elektrik.
Van konsep Winter Camper dijangka mengekalkan trenkuasa elektrik seperti yang digunakan oleh e-NV200 standard. Ini bermakna ia mempunyai sebuah motor elektrik dan pek bateri 40 kWj. Dengan gabungan ini, e-NV200 boleh dipandu sejauh 200 km berdasarkan kitaran WLTP.
No Comment