Proton Jual 109,716 Unit Kenderaan Pada 2020, Naik 8.8% Berbanding 2019
Walaupun pemasangan dan penjualan kenderaan terpaksa dihentikan selama lebih daripada dua bulan akibat PKP, Proton melaporkan bahawa mereka berjaya mencatat jualan 109,716 unit kenderaan bagi keseluruhan 2020 setelah berjaya menjual 13,306 unit pada bulan Disember. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 8.8% berbanding 100,821 unit yang dicatat pada 2019. Bahagian pasaran pula meningkat sebanyak 4.4% kepada 21.1%.
Pemacu utama penumbuhan jualan adalah Persona, Iriz, Exora dan Saga (PIES) manakala sambutan untuk X50 melebihi jangkaan walaupun pelancarannya terpaksa ditangguhkan. Kesemua model PIES telah dikemas kini secara meluas pada 2019 dan pelaburan itu memberi hasil dengan setiap model mencatatkan penjualan lebih tinggi walaupun tahun ini dijejaskan oleh wabak koronavirus.
“Prestasi kami disokong oleh banyak faktor termasuk kepercayaan dari pelanggan, sokongan oleh kerajaan, komitmen dari vendor, ketahanan pihak penjual dan ketekunan kakitangan kami,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Seperti pengeluar-pengeluar kenderaan yang lain, perniagaan Proton terjejas oleh penularan wabak COVID-19 namun kawalan kos yang rapi serta peningkatan kecekapan yang telah dilakukan oleh syarikat itu sejak beberapa tahun yang lalu membolehkan ia menyambung semula operasi dengan cepat tanpa perlu mengambil langkah memberhentikan pekerja atau memotong gaji kakitangan.
Selepas perintah berkurung berakhir, Proton menggariskan protokol yang ketat digunakan untuk memastikan semua pelanggan, rakan kongsi dan pekerja boleh berurusan dengan ketenangan fikiran. Namun demikian, seperti industri lain yang bergantung kepada rantain bekalan global untuk komponen, syarikat terjejas oleh ketersediaan bahagian untuk pemasangan kereta dan mengisi semula stok alat ganti. Ini telah menyebabkan kelewatan dan masa menunggu yang lebih lama dari segi jualan dan servis.
Menurut syarikat itu, langkah-langkah telah diambil untuk mengurangkan masalah ini pada tahun akan datang tetapi untuk jangka masa pendek, beberapa kelewatan mungkin masih dialami.
Untuk pasaran eksport pula, Proton mengatakan bahawa mereka berjaya mencapai kejayaan walaupun terdapat banyak halangan bagi pergerakan barangan secara global. Banyak aktiviti yang dilakukan pada Disember lalu, termasuklah pelancaran Saga pasangan tempatan (CKD) yang pertama di Kenya dan pelancaran model itu bersama X70 di Pakistan.
Selain itu, Saga turut dilancarkan di Mesir dan Bangladesh, manakala X50 pula memasuki pasaran eksport pertamanya apabila ia dilancarkan di Brunei pada 19 Disember lalu.
No Comment