Bisnes

Proton Sasar Gandakan Jualan Eksport Bagi 2021

Proton hari ini mengumumkan bahawa ia menyasarkan untuk menggandakan jumlah eksport mereka bagi tahun 2021, dengan andaian aktiviti eksport tidak terjejas akibat sekatan untuk mengawal wabak.

Menurut syarikat itu, model yang akan digunakan untuk memimpin penambahan jualan adalah Saga, serta X70 dan X50 yang akan diperkenalkan ke lebih banyak pasaran antarabangsa secara beransur-ansur.

Pada bulan Disember tahun lalu, permulaan operasi CKD di Kenya, dan pelancaran X70 di Pakistan telah menyumbang kepada pertumbuhan jualan eksport sebanyak 50% pada akhir tahun 2020 berbanding 8.8% yang dicatatkan oleh pasaran tempatan.

Pasaran eksport adalah amat penting bagi Proton untuk mencapai matlamat jangka masa panjangnya iaitu untuk menjadi jenama automotif tiga teratas di ASEAN dari segi jualan. Walaupun mendahului jualan di pasaran tempatan akan tepat menjadi matlamat utama, pihak syarikat akui ia perlu menambah jumlah jualan antarabangsa untuk berkembang pada masa hadapan.

Tambah Proton, tugas untuk memimpin pengembangan luar negara syarikat telah diberi kepada Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa.

“Bahagian jualan antarabangsa Proton telah mencari banyak peluang bagi menambahkan jualan eksport selama dua tahun lepas. Kami telah menggunakan pelbagai strategi untuk mencapai matlamat ini termasuk menjual kenderaan CBU yang dibina di Malaysia dan menandatangani perjanjian dengan syarikat tempatan untuk membina kenderaan CKD di luar negara.

“Kami menyasarkan penambahan yang mendadak bagi 2020 tetapi rancangan tersebut terjejas akibat Covid-19. Walau bagaimanapun, kami berjaya menambah jualan eksport dan menembusi pasaran baru seperti Kenya serta melancarkan Proton X50 di Brunei hanya dua bulan selepas ia dilancarkan di Malaysia dan ini memberi dorongan positif untuk usaha kami tahun ini,” kata beliau.

Bagi menarik perhatian pelanggan, Saga yang dijual di Pakistan menggunakan enjin berkapasiti 1,299 cc berbanding dengan enjin 1,322 cc yang di Malaysia untuk mematuhi keperluan kenderaan berkapasiti kecil di sana. Di Nepal pula, model yang sama dilengkapi dengan fungsi pemanas kabin, komponen penting bagi pasaran yang mengalami musim sejuk.

Proton juga berkata bahawa mereka akan bekerjasama dengan entiti tempatan yang memiliki pengedar dan pengimport Proton di luara negara bagi memastikan rancangan pengenalan, promosi dan pelancaran produk bersesuaian dengan keadaan pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, “Dengan kerjasama rakan antarabangsa kami, Proton berhasrat untuk menyampaikan mesej yang konsisten di semua pasaran eksport kami dan ini akan mempermudahkan nama jenama Proton untuk memantapkan dirinya di lebih banyak pasaran antarabangsa. Ini sejajar dengan tujuan kami untuk mempromosikan Malaysia dan vendornya di peringkat serantau dan global. Akhirnya ini akan meningkatkan daya saing mereka dan memberi manfaat kepada ekonomi secara keseluruhan.”

Previous post

Mengapa Pengilang Kereta Mengabaikan After Sales

Next post

Touch ‘n Go Akhirnya Mengeluarkan Surcaj Untuk Tempat Letak Kereta Menjelang S1 2021

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *