Toyota GR Yaris Laris Di Pasaran
Sebulan sudah berlalu sejak UMW Toyota Motor melancarkan Toyota GR Yaris. Menurut syarikat itu, sambutan untuk model homologasi istimewa itu telah melebihi jangkaan.
Daripada 25,000 unit yang dihasilkan untuk pasaran global, kurang 200 unit GR Yaris Performance Pack Edition diperuntukkan untuk pasaran Malaysia. UMW Toyota menggesa pihak yang berminat untuk mendaftarkan minat di wakil pengedar GR Garage di seluruh negara.
“Ketika diberitahu mengenai Toyota GR Yaris oleh Toyota Motor Corporation, kami tahu bahawa ia mempunyai potensi besar di pasaran Malaysia, terutamanya dengan peningkatan aktiviti sukan permotoran yang dianjurkan oleh UMW Toyota Motor,” kata Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.
“Peminat yang menantikan pelancaran model itu tidak membuang masa untuk membuat tempahan sebaik sahaja kami melancarkannya pada 17 Disember 2020,” tambah beliau.
Fenomena ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah juga di Australia di mana 1,000 unit GR Yaris habis terjual dalam masa seminggu.
Ditawarkan pada harga RM286,896 (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pengecualian cukai jualan SST), GR Yaris dikuasakan oleh enjin turbo 1.6-liter tiga silinder dengan 261 PS pada 6,500 rpm dan 360 Nm dari 3,000 hingga 4,600 rpm. Kuasa disalurkan ke roda oleh transmisi manual enam kelajuan menerusi sistem pacuan semua roda GR Four.
Pakej Performance yang disertakan secara standard memberikan hatchback ini kelebihan dalam bentuk LSD Torsen, anti-roll bar dan rim aloi BBS berukuran 18 inci yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport 4S.
65 pembeli pertama akan menerima pakej ‘Early Bird’ yang merangkumi beg topi keledar eksklusif, model skala GR Yaris dan penyertaan dalam sesi Pengalaman Memandu GR Yaris.
No Comment