Toyota Hilux Hampir Ditelan Lubang Besar Di Semenyih
Anda mungkin telah melihat Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah meredah banjir menggunakan sebuah Toyota Hilux semasa lawatannya ke negeri Pahang yang teruk dilanda bencana itu baru-baru ini. Itu boleh dikatakan demonstrasi kekuatan Hilux yang terbaik dan menjadikannya lebih istimewa, ia dilakukan oleh YDPA sendiri. Namun nampaknya trak pikap yang popular itu mempunyai satu kelemahan iaitu lubang jalan.
Gambar-gambar yang kini sedang tersebar di media sosial menunjukkan sebuah Hilux terjunam ke dalam sebuah lubang di Kampung Rinching di Semenyih, Selangor. Keadaan pemandu tidak diketahui namun kami berharap beliau tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Melihat kepada keadaan trak tersebut, lubang itu mempunyai kedalaman sekurang-kurangnya satu meter dengan ukuran lebar yang hampir sama. Sejujurnya, lubang sebesar itu boleh mendatangkan bahaya kepada trak yang lebih besar seperti Ford F-150, apatah lagi trak bersaiz sederhana seperti Hilux. Nasib baik tidak ada penunggang motosikal atau basikal (setakat yang kami tahu) yang menjadi mangsa kepada ‘jerangkap samar’ ini kerana ia boleh mengancam nyawa mereka.
Seperti yang anda sedia maklum, lubang jalan adalah satu isu yang telah membelenggu pengguna jalan raya di negara ini sejak sekian lama dan walaupun telah banyak aduan dibuat, masalah ini tidak pernah selesai. Malah, ia kerap muncul walaupun di jalan yang baru dibina. Adil jika dikatakan bahawa rakyat Malaysia sangat kecewa dengan permasalahan ini tetapi oleh kerana tidak banyak tindakan yang diambil untuk mengatasi isu ini, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menerimanya sebagai sebahagian dari kehidupan harian.
Baru-baru ini, ia sekali lagi menjadi topik perbincangan hangat selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin terjatuh dari basikal akibat terlanggar lubang jalan. Ciapan beliau mengenai insiden itu disusuli dengan permohonan maaf oleh JKR Kuala Langat dan selepas sehari, lubang tersebut sudah pun ditampal. Ini menyebabkan kemarahan netizen yang menuduh jabatan itu bersikap ‘double standard’.
Beberapa hari selepas itu, seorang lelaki berusia 75 tahun meninggal dunia selepas motosikal yang dinaikinya terbabas akibat terlanggar lubang. Kira-kira 24 jam selepas itu, seorang penghantar makanan mengalami nasib yang sama di Kota Damansara. Tiada permohanan maaf dibuat dalam kedua-dua kejadian.
Tetapi itu bukanlah perkara utama dalam hal ini. Kami rasakan bahawa sebuah pelan tindakan segera oleh pihak berkuasa akan memberikan impak yang lebih besar dalam usaha mencegah insiden-insiden malang seperti ini daripada berulang di masa hadapan.
No Comment