Jenama Kereta Turki TOGG Akan Lancar SUV Elektrik Pada 2022
Segmen kereta elektrik (EV) tidak disangkal lagi memang mencabar namun dengan permintaan yang semakin meningkat, ia juga menjanjikan pulangan yang lumayan. Maka, tidak hairanlah jika negara membangun seperti Turki ingin menyertainya. Memperkenalkan, jenama automotif pertama negara itu, TOGG (Türkiye’nin Otomobili Girişim Grubu).
Dilancarkan pada Disember 2019 oleh Presiden Recep Tayyip Erdoğan, TOGG menyasarkan untuk bersaing dalam pasaran EV dengan sebuah SUV segmen C. Syarikat itu berkata model yang belum dinamakan itu akan menggunakan platformnya sendiri dan menawarkan “jarak roda terpanjang, ruang dalaman paling luas, prestasi pecutan terbaik serta kos pemilikan yang terendah.”
TOGG turut mendedahkan bahawa ia juga sedang bekerjasama dengan Pininfarina untuk menghasilkan reka bentuk yang mampu menarik perhatian warga Turki serta pelanggan di peringkat global. Model yang dipaparkan ini adalah prototaip dan seperti kebiasaan, reka bentuknya mungkin akan diubah sedikit untuk versi produksi.
Bakal dilancarkan tahun hadapan, SUV tersebut akan ditawarkan dengan dua pilihan trenkuasa. Model asas akan mendapat sebuah motor elektrik 200 hp yang menggerakkan roda belakang, sekaligus membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.6 saat, dengan jarak pemanduan sejauh 300 km.
Sementara itu, varian tertinggi menampilkan sepasang motor elektrik yang memberikan SUV itu kuasa sebanyak 400 hp, pacuan semua roda (AWD), masa pecutan 0-100 km/j 4.2 saat dan jarak pemanduan 500 km. Ia juga boleh dicas kepada 80% dalam masa hanya 30 minit menerusi fungsi pengecasan pantas.
Dari segi teknologi, TOGG menjanjikan kemampuan pemanduan autonomi Tahap 2+ yang boleh ditransformasikan ke Tahap 3 dan seterusnya. Segala perisian yang digunakan boleh dikemas kini secara atas udara (Over-the-Air atau OTA).
Ciri keselamatan pula terdiri daripada tujuh beg udara, serta pelbagai sistem keselamatan pasif dan aktif. SUV ini juga mempunyai struktur khas dengan bateri yang dipasang pada platfrom yang dikatakan dapat meningkatkan ketegaran sebanyak 30%. TOGG mensasarkan penarafan lima bintang dari EuroNCAP apabila ia dilancarkan kelak.
Selain SUV ini, TOGG turut mendedahkan sebuah model konsep sedan segmen C. Maklumat mengenai model ini tidak didedahkan, namun ia dijangka menggunakan platform dan teknologi yang sama dengan SUV berkenaan.
No Comment