Lelaki Hadiahkan Bugatti Chiron Sport Merah Jambu Kepada Isteri
Hadiah Hari Valentine biasanya agak klise iaitu bunga, coklat, beg tangan, minyak wangi atau peranti. Bagaimanapun, seorang lelaki baru-baru ini menghadiahkan sebuah Bugatti Chiron Sport custom kepada isterinya bersempena hari kekasih tahun ini.
Dikomisenkan menerusi wakil pengedar Bugatti di London iaitu H.R. Owen, Chiron Sport tersebut menampilkan gabungan warna putih (Matt Blanc) dan merah jambu (Silk Rose). Menurut Bugatti, ini merupakan kali pertama rona merah jambu tersebut digunakan pada mana-mana jentera keluarannya.
Seperti yang dilihat, selain pada bahagian badan, warna merah jambu tersebut boleh didapati pada rim, spoiler, bumbung, cermin sisi dan pelindung ruang enjin. Sementara itu, jerijinya pula dihiasi dengan kemasan krom.
Ruang dalaman pula menampilkan gabungan upholsteri kulit Gris Rafale dan Alcantara, serta jahitan kontras merah jambu. Identiti pembeli tersebut tidak diketahui, namun isterinya berkemungkinan besar bernama Alice. Ini kerana hypercar tersebut didatangkan dengan nama ‘Alice’ pada tempat duduk serta ambang pintu.
Diperkenalkan pada 2018, Chiron Sport hadir sebagai versi yang telah dinaik taraf dari segi pengendalian dan berat. Selain lebih ringan sebayak 18 kg berbanding Chiron ‘biasa’, ia juga mempunyai sistem suspensi yang lebih tegar serta ciri Dynamic Torque Vectoring. Ia dikuasakan oleh enjin 8.0-liter W16 yang menghasilkan 1,500 PS.
Harga Chiron Sport ‘Alice’ ini tidak didedahkan namun ia sudah pasti lebih mahal berbanding versi standard yang ditawarkan pada harga bermula 2.65 juta euro (RM13 juta).
No Comment