Lexus IS 500 F Sport Performance Hadir Dengan Enjin NA V8
Lexus telah memperkenalkan IS 500 F Sport Performance yang akan dijual secara eksklusif untuk pasaran Amerika Utara sahaja. Menampilkan gabungan IS facelift yang diperkenalkan pada tahun lalu dan enjin V8 daripada LC 500, ia merupakan model pertama dalam barisan F Sport Performance.
Enjin aspirasi natural bersesaran 5.0 liter itu menghasilkan 472 hp pada 7,100 rpm dan 535 Nm pada 4,800 rpm, sekaligus menawarkan prestasi yang lebih tinggi berbanding enjin 3.5-liter V6 di dalam IS 350 F Sport. Enjin tersebut dipadankan dengan sistem ekzos quad yang diinspirasikan oleh model-model F seperti RC F yang terdahulu.
Dengan transmisi Sport Direct Shift lapan kelajuan yang memacu roda belakang, IS 500 mampu memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 4.5 saat. Kelajuan maksimum tidak dinyatakan namun model ini mempunyai tahap kecekapan bahan api 10.2 km/l bagi pemanduan lebuh raya.
IS 500 dilengkapi dengan mod pemanduan Sport S dan Sport S+ yang menyediakan pemetaan enjin dan transmisi yang lebih agresif. Ia juga mempunyai mod Custom yang menawarkan beberapa gabungan mod untuk trenkuasa (Normal/Eco/Power), casis (Normal/Sport) dan pendingin hawa (Normal/Eco).
Bercakap tentang casis, IS 500 didatangkan standard dengan Dynamic Handling Package (DHP) yang merangkumi Adaptive Variable Suspension (AVS) dan LSD Torsen. Peredam prestasi Yamaha turut disertakan pada bahagian belakang untuk meningkatkan kestabilan dan kelincahan pada kelajuan tinggi.
Sistem brek pula terdiri daripada cakera aluminium berkembar berukuran 14 inci pada bahagian hadapan dan 12.7 inci pada bahagian belakang.
Dari segi penampilan, sedan berprestasi tinggi ini boleh dibezakan dengan IS 350 menerusi rekaan bonet yang lebih tinggi, lip spoiler serta trim berwarna krom gelap di sekeliling tingkap. Penggunaan rim aloi 19 inci keluaran Enkei serta lencana berwarna hitam pada bahagian sisi juga menunjukkan bahawa ia bukan calang-calang model.
Ruang dalaman pula menampilkan lencana F Sport Performance hitam pada stereng dan plat scuff, serta set pedal pendikit, brek dan perehat kaki F Sport. Satu lagi ciri eksklusif yang terdapat pada model ini adalah animasi yang dipaparkan pada kluster instrumen apabila enjin dihidupkan.
No Comment