Lexus LS 500 Dibuka Untuk Tempahan – Dari RM1.02 Juta
Lexus Malaysia hari ini mengumumkan bahawa LS 500 telah dibuka untuk tempahan dengan harga (OTR termasuk pengecualian cukai jualan) bermula dari RM1,023,629 untuk varian Luxury dan RM1,304,768 untuk varian Executive Kiriko. Penyerahan akan bermula seawal bulan Mei tahun ini.
Dibina di atas platform GA-L, LS 500 tampil dengan rekaan baharu pada bahagian bampar, lampu dan gril radiator. Gril ‘spindle’ juga menerima kemasan metalik gelap untuk penampilan yang lebih formal dan elegan. Terdapat dua warna yang ditawarkan iaitu Iridium Silver dan Sonic Iridium.
Rim 20 inci yang digunakan mempunyai lubang resonator yang berfungsi untuk mengurangkan bunyi bising. Didatangkan dalam kemasan Hyper Chrome Metallic, ia dibalut tayar ‘run flat’ dengan dinding yang diperkuatkan untuk perjalanan lebih selesa.
Di dalam, LS 500 menampilkan upholsteri kulit semi-aniline dengan pilihan skema warna Chateau atau Hazel. Varian Executive Kiriko mempunyai perhiasan kaca dan lipatan pada panel pintu. Kapasiti ruang but LS 500 adalah 480 liter namun varian Executive Kiriko hanya mendapat 440 liter kerana ia didatangkan dengan kotak penyejuk.
Antara ciri standard yang disertakan termasuklah pelarasan kuasa 28-hala pada kerusi hadapan dan belakang, serta paparan multimedia 12.3 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Varian Executive Kiriko didatangkan dengan tambahan kerusi belakang ottoman dengan fungsi urut, sistem audio Mark Levinson dengan 23 pembesar suara dan dua skrin LCD 11.6 inci di belakang dengan pemacu BluRay, Wifi dan HDMI.
LS 500 dikuasakan oleh enjin 3.5-liter V6 yang telah dinaik taraf dengan omboh baharu. Denga 415 hp dan 600 Nm, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam lima saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan sistem suspensi udara adapatif yang menjadikan sedan mewah ini lebih stabil, selesa dan lincah.
Sistem keselamatan pula terdiri daripada 12 beg udara SRS dan Lexus Safety System+ yang merangkumi Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dengan fungsi Stop & Go, Lane Tracing Assist (LTA), Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).
Bukan itu sahaja, sensor Pre-Collision System (PCS) kini boleh mengesan kehadiran pejalan kaki dan penunggang basikal. Turut disertakan adalah Parking Support Brake (PKSB).
.
No Comment