Maserati Levante S GranSport Dengan Dalaman Ermenegildo Zegna Dilancarkan
Naza Italia hari ini melancarkan model edisi terhad Maserati Levante S GranSport dengan dalaman Ermenegildo Zegna yang menampilkan tenunan kulit tekstil Pelletessuta.
Dilahirkan menerusi gabungan tradisi lama Itali dan teknologi inovatif masa kini, Pelletessuta menggunakan jalur kulit Nappa nipis yang ditenun dengan kaedah tradisional bagi menghasilkan ‘fabrik’ yang ringan, lembut dan tahan lama. Upholsteri istimewa ini dipadakan dengan trim kayu Radica dengan tulisan “Ermenegildo Zegna PELLETESSUTA”.
Untuk bahagian luaran pula, SUV berprestasi tinggi ini menampilkan warna gangsa Bronzo, angkup brek berawrna hitam dan rim Helios berukuran 21 inci. Sebagai alternatif, ia juga boleh didapati dalam warna Blue Nobile.
Selain itu, senarai kelengkapan model ini sama seperti Levante S iaitu kit badan GranSport, lampu Matrix LED, sistem brek Brembo enam piston, tempat duduk sport, sistem audio premium Bowers & Wilkins serta sistem bantuan pemandu canggih (ADAS).
Kuasa masih dibekalkan oleh enjin 3.0-liter twin-turbo V6 yang mampu menjana 430 hp dan 580 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.2 saat.
Hanya lima unit akan ditawarkan oleh Naza Italia dan setiap satu dijual pada harga RM838,800. Harga tersebut termasuk waranti standard selama tiga tahun tanpa had perbatuan dan program penyelenggaraan percuma untuk tiga tahun atau 60,000 km.
No Comment