Mitsubishi Outlander Generasi Ke-4 Diperkenalkan
Setelah diacah berkali-kali, Mitsubishi akhirnya memperkenalkan Outlander serba baharu yang hadir dengan reka bentuk luaran dan dalaman yang segar, serta pelbagai teknologi terkini yang menjadikan ia lebih lasak.
Seperti yang didedahkan sebelum ini, model generasi keempat ini mempunyai wajah ‘Dynamic Shield’ baharu yang diapit oleh lampu nyalaan siang yang langsing dan tajam. Lampu utama diasingkan dan diposisikan di sudut kiri dan kanan bampar.
Lampu belakang juga diberikan rekaan yang lebih langsing berbanding model sebelum ini. Outlander didatangkan standard dengan rim 18 inci, namun bergantung pada varian, ia boleh dilengkapi dengan rim berukuran 20 inci.
Reka bentuk ruang dalaman turut dirombak semula, kali ini dengan susun atur yang lebih ringkas dan kemas. Varian teratas didatangkan dengan paparan sentuh infotainmen berukuran 9.0 inci dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto, kluster instrumen digital 12.3 inci serta paparan ‘head up’ 10.8 inci. Sistem audio BOSE dengan 10 pembesar suara ditawarkan secara pilihan.
Selain itu, Mitsubishi turut menggunakan material yang dinaik taraf bagi melahirkan suasana yang lebih mewah. Pilihan upholsteri yang ada termasuklah fabrik, suede dan kulit separa-aniline, manakala papan pemuka, panel pintu dan konsol tengah kini dibalut dengan kulit yang lembut berserta jahitan berkualiti tinggi.
Seperti Nissan X-Trail baharu, Outlander dibina di atas platform CMF-C/D yang bukan sahaja lebih tegar berbanding platform terdahulu, malah lebih ringan.
Ia mempunyai ukuran panjang 4,709 mm, lebar, 1862 mm dan tinggi 1,748 mm, menjadikan ia 15 mm lebih panjang, 51 mm lebih lebar dan 38 mm lebih tinggi berbanding model generasi ketiga. Bukan itu sahaja, jarak tapak roda juga bertambah dari 2,669 mm kepada 2,705 mm, bermakna ia mempunyai ruang kabin yang lebih luas dan selesa walaupun dengan tujuh tempat duduk.
Buat masa ini, Outlander ditawarkan dengan enjin NA 2.5-liter empat silinder yang menghasilkan 181 hp dan 245 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi CVT dengan lapan nisbah kelajuan yang menggerakkan sama ada roda hadapan (FWD) atau keempat-empat roda (4WD).
Varian 4WD dilengkapi dengan sistem Super-All Wheel Control (S-AWC) yang telah dinaik taraf. Brake Active Yaw Control disertakan secara standard pada kedua-dua varian FWD dan 4WD. Mod pemanduan Eco, Normal, Tarmac, Gravel dan Snow juga standard, namun varian 4WD mendapat tambahan mod Mud.
Dari segi keselamatan, semua varian Outlander didatangkan standard dengan 11 beg udara. Pelanggan boleh menambah sistem MI-PILOT Assist yang merangkumi Adaptive Cruise Control (ACC) dan Lane Keep Assist (LKA).
No Comment