Berita Auto

Pemandu Mercedes-AMG E43 Langgar Paip Besi Semasa Pandu Uji

Membeli kereta, sama ada baharu atau terpakai, sepatutnya menjadi satu pengalaman yang menggembirakan, lebih-lebih lagi apabila kereta itu memang sudah lama diidamkan. Salah satu langkah yang menyeronokkan apabila hendak membuat pembelian adalah sesi pandu uji, di mana ia dapat menentukan sama ada kereta tersebut sesuai dengan anda atau berbaloi dengan pinjaman selama sembilan tahun yang akan ditanggung.

Oleh kerana pandu uji selalunya dilakukan dalam tempoh masa yang singkat dan jarak yang terhad, perkara-perkara yang tidak diingini jarang sekali berlaku. Namun ada kalanya pelanggan diberikan lebih masa dan kebebasan bagi mendapatkan ‘feel’ sesebuah kereta itu. Ketika inilah macam-macam perkara boleh berlaku. Kejadian ini adalah salah satu contohnya.

Sekiranya anda terlepas, sebuah video yang menunjukkan seorang pemandu hilang kawalan sebuah sedan berprestasi tinggi tular di media sosial baru-baru ini. Pemandu tersebut, kemungkinan seorang pelanggan, dilihat sedang memandu sebuah Mercedes-AMG E43 di sebatang jalan yang lurus. Kelajuan sebenar kereta itu ketika rakaman dilakukan tidak diketahui namun berdasarkan ngauman enjin biturbo V6 yang boleh didengari dengan jelas, ia sudah pasti dipandu melebih had laju yang dibenarkan.

Beberapa saat selepas itu, pemandu tersebut cuba untuk memusing stereng ke arah kiri namun disebabkan terlalu laju, kereta tersebut mengalami ‘understeer’ dan akhirnya merempuh sebuah paip besi besar di tepi jalan. Seperti yang boleh dilihat menerusi gambar-gambar ini, sedan berpretasi tinggi itu mengalami kerosakan yang agak teruk pada bampar hadapan dan hud. Sudah tentu, kerosakan ini akan menelan belanja yang tinggi untuk dibaik pulih.

Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab membayar kos pembaikan ini? Menurut asklegal.my, ia bergantung kepada keadaan kerosakan. Kerosakan kecil seperti calar dan kemek biasanya akan ditanggung oleh insurans flit, yang biasanya diambil oleh pengedar untuk barisan kenderaan pandu uji mereka. Namun, jika kerosakan itu serius, pemandu perlu membayar kos pembaikan.

Dalam kes ini, pemandu E43 tersebut jelas bersalah dan seperti mana-mana kes perlanggaran, beliau perlu membuat laporan polis dalam masa 24 jam supaya pihak pengedar boleh membuat tuntutan. Jika beliau memiliki kereta, kos pembaikan akan ditanggung oleh polisi insurans kereta peribadinya namun jika tidak, beliau perlu menanggungnya dari poket sendiri.

Previous post

Mercedes-Benz S-Class Baharu Menjadi Kereta Ke 50 Juta Mereka

Next post

Lelaki Hadiahkan Bugatti Chiron Sport Merah Jambu Kepada Isteri

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *