Rangka Tindakan Lestari ‘Perodua Smart Build’ Dilancarkan
Perodua hari ini melancarkan rangka tindakan lestari (sustainable blueprint) pertamanya yang merangkumi hampir seluruh ekosistem pembekal dan pengedar automotif Malaysia.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad, rangka tindakan yang dikenali sebagai Perodua Smart Build itu bertujuan untuk mendorong Perodua dan industri ke arah globalisasi yang lebih tinggi pada masa hadapan, di samping mewujudkan ekosistem automotif yang mampan dan kukuh.
Tambah Dato’ Zainal, Perodua Smart Build merupakan ‘Transformasi 3.0’ Perodua yang dibina berdasarkan kejayaan-kejayaan sebelumnya. Trasformasi pertama yang dimulakan pada 2011 berkisarkan pembinaan ekosistem Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), penghentian aliran kecacatan, penubuhan Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd dan peningkatan kualiti.
Transformasi 2.0 pula memberi tumpuan kepada kepuasan pelanggan, pembangunan organisasi dan perpaduan di kalangan seluruh Kumpulan Syarikat Perodua.
Di bawah Transformasi 3.0, Perodua akan bekerjasama dengan rakan-rakan niaganya untuk mengurangkan jurang kualiti, kos dan penghantaran di dalam ekosistem automotif dan memastikan industri berada pada ‘saiz yang betul’. Syarikat itu juga akan mengenalpasti kepakaran sedia ada yang boleh dimanfaatkan di luar Malaysia.
Sebagai contoh, kakitangan Perodua kini sedang bekerjasama dengan Daihatsu Japan dalam mereka bentuk model Daihatsu. Ini merupakan salah satu usaha untuk mengeksport kepakaran yang dimiliki oleh warga tempatan ke luar negara. Hubungan rapat dengan Daihatsu akan terus dimanfaatkan untuk merealisasikan objektif Perodua Smart Build.
“Perodua Smart Build akan dicapai dengan bantuan pemegang saham dan rakan teknologi serta teknikal kami, Daihatsu Motor Company of Japan; dan kerajaan Malaysia yang mewujudkan ekosistem ini untuk memberi faedah kepada negara,” tambah beliau.
Perodua Smart Build juga direka untuk membantu Perodua dan ekosistem automotif negara mengambil manfaat daripada Dasar Automotif Nasional dengan menjadikan industri tersebut lebih berdaya saing dan maju.
Antara komponen utama Perodua Smart Build adalah pembangunan produk sepenuhnya oleh Perodua dan para pembekalnya, pembentukan budaya kerja kelas pertama dan pemikiran kelas pertama yang akan menyumbang kepada negara.
“Pelancaran Perodua Smart Build tidak bermaksud kami telah mencapai potensi penuh komponen-komponen ini; sebaliknya,ia menandakan permulaan perjalanan Perodua dan rakan-rakan niaganya menuju tahap daya saing yang lebih tinggi.
“Kami berterima kasih kepada Daihatsu kerana diberikan peluang ini dan sokongan berterusan mereka selama ini. Sudah tiba masanya untuk kita berkongsi kerjasama ini sepenuhnya dengan rakan-rakan niaga kami di Malaysia,” ujar Dato’ Zainal.
Beliau menambah bahawa sebilangan pembekal Malaysia telah pun menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global Daihatsu, dan Perodua sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk membangunkan lebih banyak pembekal tempatan ke arah tuju yang sama.
“Kami juga memberi tumpuan kepada pembangunan para pengedar kami, termasuk mengukuhkan operasi mereka dan membimbing mereka ke arah amalan terbaik global bagi meningkatkan lagi kepuasan pelanggan,” kata Dato’ Zainal.
Beliau menjelaskan bahawa Perodua berhasrat untuk memastikan kesinambungan perniagaan para pengedar dengan berkongsi amalan terbaik serta teknologi terkini, sambil menambah: “Para pengedar kami adalah rakan-rakan niaga kami, sama seperti hubungan kami dengan Daihatsu, dan kami komited terhadap kejayaan mereka selagi mereka komited terhadap matlamat-matlamat kami.”
“Dari segi produk, model-model kami pada masa hadapan akan lebih selari dengan trend semasa dan pada masa yang sama mengekalkan kelebihan kami – ruang, praktikaliti, kualiti, kebolehpercayaan, kecekapan bahan api dan nilai terbaik,” kata Dato’ Zainal
No Comment