Jentera Drift Supra Eurofighter Ini Mempunyai Enjin 2JZ 1,000 HP
HGK Racing Team, sebuah pasukan drift profesional yang berpangkalan di Riga, Latvia, telah memperkenalkan jentera terbaru mereka yang pastinya akan menarik perhatian ramai peminat sukan itu.
Dikenali sebagai Supra Eurofighter, kereta ini dikatakan mengambil masa kira-kira setahun untuk dibangunkan. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan memandangkan ia telah diberikan peningkatan secara menyeluruh sebagai persiapan untuk beraksi di kejohanan-kejohanan drift terkemuka.
Seperti yang boleh dilihat, bahagian luaran Supra ini telah dipertingkatkan sepenuhnya dengan kit badan agresif yang merangkumi dapra lebar, serta rekaan bampar hadapan dan belakang yang lebih menonjol.
Kit badan ini diperbuat daripada campuran gentian karbon dan kevlar yang bukan sahaja kukuh dan ringan, malah memberikan jentera ini rona hijau kuning yang unik.
Sebagai sebuah kereta drift yang sebenar, bahagian dalaman Supra Eurofighter telah ditanggalkan sepenuhnya. Yang tinggal hanyalah sangkar keselamatan, kerusi bucket Recaro dan papan pemuka karbon yang direka sendiri oleh HGK. Tingkap kaca asal pula ditukarkan dengan tingkap polikarbonat Lexan yang lebih ringan.
Di bawah hud, enjin BMW 3.0-liter twin-turbo enam silinder sebaris yang asal telah digantikan dengan enjin 2JZ-GTE yang merupakan enjin Supra generasi terdahulu. Dengan pelbagai naik taraf dan modifikasi, enjin itu dikatakan mampu menjana sehingga 1,000 hp. Kuasa disalurkan ke roda belakang oleh transmisi berjujukan Samsonas.
Selain itu, jentera ini juga dilengkapi dengan sistem brek Willwood, serta sistem suspensi Nitron yang ditala khas untuk drift.
No Comment