Toyota Fortuner 2021 Dilancarkan
Selepas hampir sebulan dibuka untuk tempahan, Toyota Fortuner 2021 kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. SUV berasaskan trak pikap ini hadir dengan kemaskini terhadap penampilan, prestasi serta ciri keselamatannya.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Fortuner ditawarkan dalam dua varian iaitu 2.8 VRZ 4×4 A/T (RM203,183) dan 2.7 SRZ SRZ 4×4 A/T (RM172,244). Ia hadir dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.
Fortuner 2.8 VRZ 4×4 A/T ialah varian baru yang menggantikan Fortuner 2.4 VRZ. Warna badan baru iaitu Bronze Mica Metallic dengan bumbung hitam juga ditawarkan secara eksklusif bagi varian flagship ini. Bumbung hitam berkenaan juga ditawarkan dengan warna badan Super White II, juga untuk varian ini sahaja.
Sebagai varian tertinggi, Fortuner 2.8 VRZ menampilkan lampu utama Quad LED dengan gril mesh di tengah. Unit lampu yang lain juga diberikan rekaan baru, manakala rekaan bampar depan dan belakang yang juga menampilkan sentuhan baru. Bahagian skid plate di depan turut diperkemas.
Penampilan Fortuner 2.8 VRZ boleh dibezakan dengan warna hitam pada bahagian bumbung, tiang A, perumah cermin sisi dan spoiler. Salah satu ciri yang dikongsikan antara kedua-dua varian adalah rim aloi 18-inci yang diberikan rekaan baharu.
Ruang kabin Fortuner 2.8 VRZ diberikan rekaan dan warna terkini, termasuklah pada balutan tempat duduknya. Panel instrumen baharu menampilkan Multi Information Display (MID) dengan animasi pemula.
Bagi keselesaan, kedua-dua varian didatangkan dengan lampu kabin jenis LED, cermin pandang belakang elektrokromatik dan ciri pelarasan lapan-hala elektrik pada tempat duduk pemandu dan penumpang depan. Beberapa slot pengecas USB juga disediakan.
Seperti Hilux Rogue, Fortuner 2.8 VRZ dikuasakan oleh enjin diesel 1GD-FTV empat-silinder dengan Variable Nozzle Turbocharger (VNT). Enjin ini mampu menghasilkan 204 PS dari 3,000 hingga 3,400 rpm dan 500 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,800 rpm.
Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan Kawalan Aliran Bolehubah (VFC) pada stereng kuasanya dan Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) dengan ciri Auto Limited Slip Differential (LSD).
Sistem keselamatan pula terdiri daripada Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dan Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Yaw Assist.
No Comment