Toyota Innova 2021 Kini Di Pasaran Malaysia
UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) secara rasmi melancarkan Toyota Innova 2021 dengan beberapa peningkatan dari segi penampilan serta tambahan sistem keselamatan yang ditawarkan sebagai ciri standard. Seperti sebelumnya, Innova ditawarkan dalam tiga varian iaitu 2.0X (RM129,677), 2.0G (RM121,483) dan 2.0E (RM111,622).
Terdapat enam warna luaran sebagai pilihan; Medium Silver Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown, Silver Metallic, Super White II dan Bronze Mica Metallic (baharu). Innova 2.0X mempunyai pilihan warna tambahan iaitu Crimson Spark Red Metallic.
Perubahan kecil telah dilakukan ke atas Innova 2021 untuk menjadikan penampilannya lebih segar. Grilnya kini mempunyai tema krom dan hitam, sementara cermin sisi diberikan perumah krom agar lebih kemas. Lampu kabus dan rekaan dalamnya direka semula untuk menjadikan wajah depan model ini lebih menonjol.
Innova 2.0X menerima pakej Enhancement yang merangkumi pelapik lengkung tayar baharu yang memberikan perlindungan pada bahagian badan, begitu juga pelapik sisi badan, skirting sisi dan spoiler bumbung untuk memberikan sentuhan lebih sporty.
Varian tertinggi ini dilengkapi dengan rim aloi berukuran 17 inci dengan penyudah Dark Grey Metallic dan dibaluti tayar bersaiz 215/55R17. Varian 2.0G dan 2.0E pula didatangkan dengan rim aloi 16 inci dua-tona dan tayar 205/65R16.
Di dalam, Innova 2.0X dan 2.0G mendapat meter Optitron baharu pada panel instrumennya. Paparan Multi Information Display (MID) 4.2-inci turut disertakan, manakala lebih banyak pengecas pantas USB (dua pada papan pemuka, satu di barisan tempat duduk ketiga) disediakan kali ini bagi memenuhi maklum balas pelanggan. Pelanggan juga boleh mendapatkan pengecas tanpa wayar.
Dari segi keselamatan, Peninjau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA) kini standard pada Innova 2.0X dan 2.0G dan ditawarkan sebagai pilihan bagi varian 2.0E. Dua varian teratas itu juga mendapat Peninjau Pandangan Panoramik (PVM) dan Sistem Telematik Kenderaan Toyota (VTS).
Semua varian Innova dilengkapi tujuh beg udara SRS dan semua tempat duduk barisan ketiga mempunyai tali keledar 3-titik dengan regangan automatik. ABS dengan Agihan Daya Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) serta Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) juga standard. Model ini mendapat penarafan lima bintang ASEAN NCAP.
Innova juga terus menggunakan enjin yang sama, iaitu 2.0 liter DOHC empat-silinder 16-injap VVTi petrol yang menghasilkan 139 PS pada 5,600 rpm dan 183 Nm tork pada 4,000 rpm. Kuasa dihantar ke roda belakang menerusi transmisi automatik Super ECT elektronik enam-kelajuan.
No Comment