Berita Auto

Aston Martin Vantage F1 Edition Bawa Prestasi Litar Ke Jalan Raya

Sempena meraikan kepulangannya ke kancah Formula 1 selepas enam dekad, Aston Martin telah memperkenalkan Vantage F1 Edition yang hadir dengan beberapa penambahbaikan yang sama seperti kereta keselamatan Vantage yang akan digunakan dalam saingan tahun ini.

6.-BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-29

Diposisikan di atas model Vantage sedia ada, F1 Edition ditawarkan dalam versi Coupe dan Roadster, serta hadir dalam warna Racing Green yang digunakan oleh kereta keselamatan tersebut serta jentera pasukan Aston Martin Cognizant. Warna Jet Black dan Lunar White turut ditawarkan, bersama dengan grafik dalam warna Solid Matte Dark Grey.

Ia juga dilengkapi dengan pakej aerodinamik yang terdiri daripada splitter hadapan, dive plane serta spoiler. Hasilnya, tahap downforce yang dijana meningkat sebanyak 200 kg pada kelajuan maksimum. Selain itu, rim turut dipertingkatkan dari 20 kepada 21 inci.

Sementara itu, ruang kabin pula menampilkan upholsteri kulit Obsidian Black dan trim Alcantara Phantom Grey, dengan pilihan jalur dan jahitan berwarna Lime Green, Obsidian Black, Wolf Grey atau Spicy Red.

Sesuai dengan penampilannya yang lebih agresif, enjin AMG 4.0-liter twin-turbo V8 itu telah ditala bagi menghasilkan 535 PS pada 6,000 rpm, iaitu 25 PS lebih tinggi jika dibandingkan dengan versi standard. Tork kekal pada 685 Nm dari 2,000 hingga 5,000 rpm, namun ia terbukti sudah cukup untuk memacu jentera itu dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat dan mencapai kelajuan maksimum 314 km/j.

Transmisi automatik lapan kelajuan yang menggerakkan roda belakang turut dipertingkatkan dengan ‘torque cut’ semasa gear dinaikkan bagi mendapat penukaran gear yang lebih cepat dan tepat.

Untuk casis pula, Aston Martin memfokuskan kepada sistem suspensi untuk pengendalian yang lebih tajam serta tahap cengkaman yang lebih tinggi terutamanya apabila melalui kawasan berbonggol. Talaan pada stereng turut dilakukan bagi mendapatkan tindak balas yang lebih tepat.

Jualan Vantage F1 Edition akan bermula serta merta dengan harga dari £142,000 (RM807,896) di United Kingdom.

Previous post

Tentera China Bimbang Kereta Tesla Boleh Mengintip

Next post

Lexus IS 500 F Sport Performance Launch Edition Diperkenalkan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *