BMW 430i Coupe M Sport Dilancarkan – RM455k
BMW Group Malaysia telah melancarkan BMW 430i Coupe M Sport terbaharu, kira-kira sebulan selepas model itu dibuka untuk pra-tempahan. Ia dijual pada harga RM454,800 (atas jalan, tanpa insurans) termasuk jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun dan program penyelenggaraan berjadual percuma.
Model ini didatangkan standard dengan pakej M Aerodynamics berserta Shadow Line dari BMW Individual, lampu BMW Laserlight dengan ciri High Beam Assistant, lampu kabus LED serta rim aloi ringan 797 M Bicolour berukuran 19 inci yang dibalut tayar ‘runflat’.
Dari segi saiz, model ini mempunyai ukuran 4,768 mm panjang, 1,852 mm lebar dan 1,383 mm tinggi, menjadikannya 130 mm lebih panjang, 27 mm lebih lebar dan 6 mm lebih tinggi berbanding model terdahulu. Ukuran tapak roda juga bertambah sebanyak 41 mm kepada 2,851 mm.
Ruang dalaman pula menampilkan tempat duduk sport untuk pemandu dan penumpang hadapan, upholsteri kulit Vernasca stereng M dengan balutan kulit, pedal M, pelapik bumbung Anthracite da trim Aluminium Tetragon dengan penyudah Pearl Chrome. Tali pinggang keledar pula dihiasi dengan jalur M.
Sistem infotainmen model ini merangkumi panel instrumen digital berukuran 12.3 inci dengan ciri Navigation System Professional, skrin sentuh 10.25 inci dan sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara. Turut disertakan adalah Bluetooth dan pengecas wayarles.
Sementara itu, ciri pencahayaan ambien dengan 11 rekaan lampu, karpet velour dan sistem pendingin hawa tiga zon pula menjanjikan keselesaan tambahan kepada pemandu dan penumpang.
‘Nadi’ 430i Coupe M Sport adalah enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 258 hp dan 400 Nm. Dengan transmisi Steptronic Sport yang memacu roda belakang, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Menurut BMW, pengendalian yang lincah dibantu oleh ciri-ciri seperti ARB yang bertindak untuk memantau tahap kegelinciran tayar, sistem suspensi M Sport, stereng sport boleh ubah dan sistem brek M Sport.
Sebagai tambahan, model ini juga dilengkapi dengan Dynamic Stability Control (DSC), Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), Dynamic Brake Control (DBC) dan Antilock Braking System (ABS) dengan Brake Assist.
Sistem keselamatan yang disertakan termasuklah Speed Limit Assist, Cross-Traffic Warning, Rear Collision Prevention dan Approach Control Warning. Driving Assistant Package yang merangkumi Lane Departure Warning, Lane Change Warning dan Front Collision Warning turut disertakan, begitu juga dengan Parking Assist.
430i Coupe M Sport boleh didapati dalam warna Arctic Race Blue Metallic, Portimao Blue, Alpina White dan Black Sapphire. Upholsteri kulit Vernasca pula didatangkan dalam pilihan warna Black, Tacora Red atau Cognac.
No Comment