Ford Ranger Raptor X Tampil Dalam Warna Merah ‘True Red’
Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia, hari ini memperkenalkan model edisi khas Ford Ranger Raptor X yang eksklusif untuk pasaran Malaysia. Model ini didatangkan dalam warna True Red, menjadikannya Raptor merah pertama di pasaran.
Selain warna merah yang menyerlah, Raptor X juga mendapat pelekat dan alas kaki eksklusif. Ia dijual pada harga RM216,888 (atas jalan, tanpa insurans) dengan waranti selama lima tahun atau 160,000 km. Untuk perbandingan, Ranger Raptor biasa dijual pada harga RM208,888.
Model ini didatangkan standard dengan kamera 360 darjah serta perakam video digital (DVR) Kenwood yang mampu merakam video berdefinisi tinggi dan pada waktu malam. Ia serasi dengan Apple iOS dan Android, dan dilengkapi dengan kad memori 32GB.
Seperti versi standard, model edisi khas ini dikuasakan oleh enjin 2.0-liter BiTurbo yang menghasilkan kuasa berjumlah 213 PS dan 500 Nm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik 10 kelajuan.
Sistem suspensi Fox Racing Shox dikekalkan, begitu juga dengan Terrain Management System dan mod pemanduan Baja yang ditala khas untuk pemanduan off-road.
Sistem keselamatan pula terdiri daripada ciri-ciri seperti Autonomous Emergency Braking (AEB) with Vehicle and Pedestrian Detection, Forward Collision Warning serta Lane Departure Warning and Assist.
No Comment