Harga Rasmi Honda City RS e:HEV Diumumkan – RM105,950
Selepas beberapa bulan Honda City generasi kelima dilancarkan, Honda Malaysia akhirnya mengumumkan harga rasmi bagi varian City RS e:HEV iaitu RM105,950.45 (atas jalan tidak termasuk insurans).
Seperti yang diumumkan semalam, City RS e:HEV merupakan model pertama Honda Malaysia yang dilengkapi dengan teknologi telematik Honda CONNECT yang membolehkan pemandu berhubung dengan kereta mereka menerusi telefon pintar.
Kuasa dibekalkan oleh sistem intelligent Multi Mode Drive (i-MMD) yang menampilkan gabungan enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC dan sepasang motor elektrik dengan kuasa keseluruhan berjumlah 109 PS dan 253 Nm. Transmisi jenis e-CVT ditugaskan untuk menyalurkan kuasa tersebut ke roda hadapan.
Selain itu, varian ini didatangkan dengan tiga mod pemanduan (EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive) serta Deceleration Selector Paddles yang membolehkan pemandu menggunakan pedal untuk janaan semula kuasa dan memperlahankan kenderaan tanpa perlu menekan pedal brek.
Ciri-ciri standard lain yang turut disertakan pada City RS e:HEV termasuklah panel meter TFT tujuh inci, pad pedal sport, upholsteri Ultrasuede dengan jahitan merah, serta paparan audio berukuran lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.
Dari segi keselamatan pula, model ini mempunyai sistem Honda Sensing yang merangkumi ciri-ciri berikut:
- Kawalan Pemanduan Adaptif (Adaptive Cruise Control)
- Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (Collision Mitigation Braking System)
- Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (Forward Collision Warning)
- Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keep Assist System)
- Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (Road Departure Mitigation)
- Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Warning)
- Lampu Tinggi Auto (Auto High Beam)
Turut disertakan adalah Honda LaneWatch, penghidup enjin kawalan jauh, brek parkir elektronik, enam beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA), ABS, Brake Assist (BA), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Start Assist (HSA), Isofix, sensor undur dengan kamera undur pelbagai sudut dan Auto Brake Hold (ABH).
City RS e:HEV boleh didapati dalam tiga warna menarik iaitu Passion Red Pearl, Modern Steel Metallic dan Platinum White Pearl.
No Comment