Berita Auto

Hyundai Bayon Diperkenalkan Untuk Pasaran Eropah

Hyundai telah memperkenalkan Bayon, model SUV terkecil mereka yang direka khas untuk pasaran Eropah. Ia bakal bersaing dengan model-model seperti Peugeot 2008, Ford Puma dan Nissan Juke.

Dinamakan sempena destinasi percutian terkenal di Perancis, Bayon mempunyai penampilan yang tajam dan menonjol yang tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan satu lagi SUV keluaran Hyundai iaitu Kona.

Ini dapat dilihat dengan jelas pada bahagian hadapan, di mana lampu nyalaan siang diposisikan pada bahagian bonet manakala lampu utama pula diintegrasikan pada bampar.

Bahagian belakang pula menampilkan lampu berbentuk anak panah yang dihubungkan dengan satu jalur lampu yang panjang. Model ini boleh didapati dengan rim 15 hingga 17 inci, dengan sembilan pilihan warna.

Sementara itu, rekaan bahagian dalaman pula menekankan aspek kemodenan dan pendigitalan dengan kehadiran ciri-ciri seperti kluster instrumen digital 10.25 inci, paparan audio 10.25 inci dan pencahayaan ambien LED.

Turut disertakan adalah Apple CarPlay dan Android Auto, Hyundai Bluelink, pengecas wayarles, tiga port USB dan sistem audio Bose.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada Hyundai SmartSense yang merangkumi ciri-ciri berikut:

  • Lane Keeping Assist (LKA)
  • Lane Following Assist (LFA)
  • Intelligent Speed Limit Assist (ISLA)
  • High Beam Assist (HBA)
  • Forward Collision-Avoidance Assist (FCA) dengan pengesanan pejalan kaki dan penunggang basikal, serta ciri Junction Turning
  • Driver Attention Warning (DAW)
  • Leading Vehicle Departure Alert (LVDA)
  • Rear Occupant Alert (ROA)
  • Blind-Spot Collision Warning (BCW)
  • Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Warning (RCCW)

Di bawah hud, terdapat enjin T-GDi bersesaran 1.0 liter yang dipadankan dengan sistem hibrid ringkas (mild-hybrid) 48 volt. Enjin tersebut boleh didapati dalam versi 100 PS atau 120 PS, dengan pilihan transmisi intelligent Manual Transmission (6iMT) enam kelajuan atau automatik klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan.

Terdapat tiga mod pemanduan untuk dipilih iaitu Eco, Normal dan Sport. Lebih menarik lagi, Hyundai turut memberikan Bayon ciri pemandanan rev (Rev Matching) yang kebiasaannya disertakan pada model-model berprestasi tinggi seperti i30N.

Previous post

Bridgestone Meraikan Ulang Tahun ke-90

Next post

Gabungan Sel Bertukar Untuk Motosikal Elektrik

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *