Hyundai Palisade, Kona Facelift Bakal Dilancarkan Di Malaysia Tahun Ini
Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) hari ini mengesahkan bahawa ia akan terus memperkembangkan barisan produknya tahun ini dengan dua model baharu iaitu Palisade dan Kona facelift. Bagaimanapun, harga dan tarikh pelancaran kedua-dua model masih belum diumumkan.
Diperkenalkan buat kali pertama pada 2018, Palisade merupakan SUV tiga barisan tempat duduk flagship premium yang dibina berasaskan casis serba baharu. Saiznya yang besar bermakna ia akan diposisikan di atas Santa Fe di dalam barisan model SUV HSDM. Dari segi mekanikal, Palisade akan hadir dengan enjin petrol kitaran Atkinson 3.8-liter V6 yang menghasilkan 291 hp pada 6,000 rpm dan 355 Nm pada 5,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.
Dari segi kelengkapan, kami menjangkakan Palisade akan didatangkan dengan semua kelengkapan yang ditawarkan seperti paparan Heads-Up (HUD), kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci, skrin sentuh 10.25 inci dalam format skrin lebar, kerusi kapten pada barisan kedua dan bermacam lagi.
Sementara itu, Kona model tahun 2021 pula akan hadir dengan enjin petrol Smartstream G2.0 empat silinder dengan 149 PS pada 6,200 rpm dan 180 Nm pada 4,500 rpm. Enjin aspirasi natural ini dipadankan dengan transmisi jenis CVT yang memacu roda hadapan.
Bagaimanapun, HSDM tidak menyebut apa-apa tentang enjin turbo 1.6-liter di dalam siaran media yang dikeluarkan hari ini. Sama ada ia akan terus ditawarkan sebagai varian tertinggi dalam barisan Kona masih belum diketahui.
Di samping rekaan luaran dan dalaman yang lebih segar, versi facelift ini juga bakal hadir dengan rekaan rim baharu, sistem keselamatan Hyundai Smartsense yang dipertingkatkan serta penghidup enjin kawalan jauh.
No Comment