Berita Auto

Hyundai Staria – Pesaing Toyota Alphard Dari Korea Selatan

Selain Kona N, Hyundai turut menyiarkan imej teaser untuk kenderaan pelbagai guna (MPV) terbarunya iaitu Staria. Nama itu merupakan gabungan ‘star’ dan ‘ria’ yang merujuk kepada pendekatan futuristik yang dipilih untuk model ini serta reka bentuknya yang kemas. Ia juga tidak jauh berbeza dengan nama MPV Hyundai sedia ada iaitu Starex.

6.-BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-6

Varian yang diperlihatkan ini dikenali sebagai Premium, iaitu varian yang tertinggi dalam barisan model itu. Bahagian hadapannya didominasi oleh jalur lampu nyalaan siang, serta lampu utama berbentuk blok yang diintegrasikan ke dalam gril yang dibahagikan kepada dua bahagian.

Rekaan bahagian belakang juga kelihatan ringkas dan bersih, dengan sepasang lampu menegak panjang yang terletak di bahagian kiri dan kanan tailgate memberikan Staria imej yang moden.

Jika dilihatkan overhang hadapan dan belakang yang pendek, serta bumbungnya yang agak tinggi, jelas Hyundai turut memberikan fokus kepada aspek keluasan ruang dalaman ketika mereka bentuk MPV ini.

Bukan itu sahaja, pemilihan warna yang cerah dan lembut untuk upholsteri secara tidak langsung membuatkan kabin Staria terasa lebih luas dan lapang. Dari segi kelengkapan, apa yang jelas kelihatan setakat ini adalah paparan infotainmen yang besar pada konsol tengah serta rekaan corong udara pendingin hawa yang memanjang.

Di belakang, varian Premium ini menampilkan sepasang kerusi kapten lengkap dengan perehat kepala dan kaki yang kelihatan sangat selesa. Menurut Hyundai, model ini akan membawa mobiliti ke tahap seterusnya dengan ciri-ciri premium dan kemasan mewah. Persoalannya, mampukah ia menandingi ‘raja’ MPV iaitu Toyota Alphard?

Previous post

Hyundai Kona N Semakin Hampir Untuk Dilancarkan

Next post

Perodua: Hanya Berurusan Dengan Penasihat Jualan Yang Sah Untuk Elak Penipuan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *