Motosikal / Skuter / Roda

Indian Motorcycle Perkenal Barisan Model FTR 2022

Dua tahun selepas dilancarkan, barisan model FTR dari Indian Motorcycle kini diberikan penambahbaikan yang mana menurut pengeluar motosikal itu dapat memantapkan lagi prestasinya di jalan raya.

6.-BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-31

Untuk model tahun 2022, keseluruhan barisan FTR terdiri daripada empat versi iaitu FTR, FTR S, FTR R Carbon dan FTR Rally. Selain itu, “1200” turut digugurkan daripada nama bagi memberikan model itu penamaan yang lebih ringkas.

Setiap versi kekal dengan enjin V-berkembar bersesaran 1,203 cc dengan penyejukan cecair yang mampu menghasilkan 123 hp dan 120 Nm. Walaupun jumlah kuasa itu tidak berubah dari versi sebelumnya, pemetaan bahan api enjin tersebut telah ditala semula untuk prestasi penghidupan sejuk dan tindak balas pendikit yang lebih baik. Selain itu, Indian Motorcycle turut menyertakan teknologi pengaktifan silinder untuk penjimatan bahan api.

FTR, FTR S dan FTR R Carbon kini didatangkan dengan rim aluminium berukuran 17 inci yang dibalut tayar Metzeler Sportec yang dikatakan dapat memberikan pengendalian yang lebih tepat. Sebelum ini, ketiga-tiga varian tersebut dilengkapi dengan rim 18 dan 19 inci dengan tayar Dunlop DT3-R.

Selain itu, sudut raih (rake) bertambah sebanyak 25 darjah manakala pergerakan suspensi dikurangkan kepada 120 mm. Gabungan rim yang lebih kecil dan sistem suspensi yang diubahsuai ini secara tidak langsung menjadikan kedudukan pelana lebih rendah sebanyak 36 mm. Selain itu, bar hendal ProTaper turut dipendekkan sebanyak 40 mm.

Walaupun ketiga-tiga versi tersebut kini lebih sesuai untuk penunggangan di jalan raya, FTR Rally kekal dengan tema ‘flat track’ seperti yang dibawa sebelum ini dengan rim berukuran 18 dan 19 inci, tayar Pirelli Scorpion Rally STR dan bar hendal yang lebih tinggi.

Dari segi kelengkapan pula, FTR dilengkapi dengan tolok meter analog, manakala FTR S pula mendapat skrin sentuh 4.3 inci dengan ciri integrasi telefon pintar menerusi USB atau Bluetooth. Ekzos Akrapovic, tiga mod tunggangan, Wheelie Control, Stability Control, Traction Control serta Cornering ABS turut disertakan pada varian ini.

Selain ciri-ciri yang terdapat pada FTR S, FTR R Carbon lebih menonjol dengan komponen gentian karbon, fork boleh laras Ohlins, ekzos Akrapovic berwarna hitam, pelapik tempat duduk premium dan lencana nombor siri pada bahagian konsol.

Previous post

Diskaun RM5K Untuk Honda City Dan BR-V Mac Ini

Next post

April 2021 Ini Kereta Suzuki Akhirnya Kembali Ke Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *