Bisnes

Jualan Proton Meningkat Hampir Dua Kali Ganda

Proton hari ini mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan Februari 2021, di mana syarikat itu berjaya menjual 11,873 unit kenderaan di pasaran tempatan dan eksport.

Menurut Proton, ia merupakan jumlah jualan tertinggi bagi bulan Februari dalam lebih 10 tahun. Bukan itu sahaja, pencapaian itu juga membolehkan syarikat itu mencatat pegangan pasaran tertinggi sejak September 2013 iaitu 27.1%.

Secara keseluruhan, Proton mengakhiri Februari di tangga kedua selepas menambah jualan hampir dua kali ganda berbanding 5,964 unit yang dijual pada bulan Januari.

Berbanding dengan bulan yang sama pada tahun 2020 pula, jumlah jualan meningkat sebanyak 19.9% namun jumlah kumulatif dua bulan pertama 2021 masih kurang 643 unit atau 3.5% berbanding dengan tahun lepas.

Seperti sebelum ini, prestasi jualan Proton dipacu oleh Saga dengan 4,217 unit terjual pada bulan lalu, diikuti dengan X50 dengan 3,345 unit dan Persona dengan 1,818 unit. Sementara itu, jualan X70 pula mencecah 1,475 unit.

Tambah Proton lagi, mereka telah menerima 1,169 tempahan untuk Persona dan Exora Black Edition, serta Saga dan Iriz R3 Limited Edition, iaitu hampir separuh daripada jumlah yang akan dikeluarkan iaitu 3,500 unit.

“Bulan Februari adalah bulan yang penuh cabaran bagi industri automotif Malaysia tetapi ia memberi keputusan cemerlang bagi Proton. Atas semua usaha kerajaan untuk memastikan aktiviti ekonomi boleh berterusan semasa PKP, syarikat berjaya menghasilkan lebih kenderaan dan ini mengurangkan tunggakan pesanan kami,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

Previous post

Honda Wave 125i Kini Hadir Dengan Enjin Euro4

Next post

Bridgestone Meraikan Ulang Tahun ke-90

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *