Sukan

Litar Antarabangsa OPen Road Langkawi Bakal Dibuka Pada 2023

Status Langkawi sebagai pulau bebas cukai secara tidak langsung menjadikannya ‘syurga’ bagi pemilik supercar dan kereta mewah. Bagaimanapun, pergerakan mereka agak terbatas kerana kereta-kereta yang didaftarkan di pulau itu tidak boleh dipandu di luar kawasan, kecuali dengan kebenaran daripada agensi tertentu. Namun, keadaan itu bakal berubah dengan pembinaan Litar Antarabangsa OPen Road Langkawi (OPen Road International Circuit Langkawi atau ORIC).

6.-BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-31

Litar tersebut bakal dibina di Bukit Malut, yang terletak kira-kira 8 km dari pekan Kuah. Baru-baru ini, kami telah menerima jemputan untuk menghadiri majlis tandatangan antara Open Road Asia Sdn Bhd dan Permodalan Kedah Berhad yang akan berlangsung pada bulan hadapan. Majlis tersebut akan dihadiri oleh Menteri Besar Kedah,Muhammad Sanusi Md Nor, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad, Abdul Rahman Haji Din serta Pengasas/Penasihat Kumpulan Open Road Asia Sdn Bhd, Dato’ David Goh.

Menurut Dato’ David Goh, litar sepanjang 5.8 km yang digelar sebagai ‘Nurburgring Timur’ itu dijangka beroperasi pada suku ketiga 2023. Litar tersebut akan dilengkapi dengan infrastruktur yang mematuhi standard piawaian FIA Grade 2, FIM Grade B dan CIK-FIA, membolehkan ia menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara sukan permotoran bertaraf dunia kecuali perlumbaan Formula One. Resort mewah bertaraf lima bintang juga akan dibina.

Setakat ini, sumber pembiayaan untuk litar ini masih belum didedahkan namun kami difahamkan bahawa ia adalah projek usaha sama (joint venture) antara Open Road Asia Sdn Bhd dan Permodalan Kedah.

Persoalannya, bagaimanakah projek ini akan membawa keuntungan kepada negeri dan rakyat Kedah umumnya? Lebih penting lagi, apakah jaminan yang ia tidak akan menjadi satu lagi projek ‘gajah putih’?

Tidak dinafikan, dengan pengurusan yang telus dan cekap, litar ini boleh menjadi satu perniagaan yang menguntungkan menerusi sektor pelancongan sukan permotoran. Salah satu caranya adalah dengan mengenakan bayaran tertentu kepada pemilik-pemilik supercar dan kereta berprestasi tinggi yang ingin merasai keunikan litar tersebut. Bukan itu sahaja, pasukan-pasukan lumba yang ingin menjadikan litar ini sebagai hab penyimpanan juga akan dikenakan yuran.

Selain itu, pihak pengurusan juga boleh berusaha menjadikan ORIC sebagai lokasi penganjuran perlumbaan-perlumbaan bertaraf antarabangsa pada masa hadapan. Ini bukan sahaja akan membawa keuntungan kepada penganjur, malah akan memberikan tempias positif kepada industri pelancongan di Langkawi dan negeri Kedah dengan kehadiran peminat dari serata dunia. Langkah ini juga dilihat akan meletakkan Langkawi dalam peta sukan permotoran dunia.

Previous post

Modenas Pulsar RS200 Dapat 3 Warna Baharu - RM9,990

Next post

Renault Megane R.S. 300 Trophy Kini Di Malaysia - RM326,476

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *