McLaren 720S GT3X – Jentera Litar Tanpa Had
Peraturan teknikal adalah penting bagi memastikan setiap jentera yang bertanding dalam sesuatu perlumbaan itu mempunyai peluang yang sama rata. Namun, cuba bayangkan jika pasukan tidak terikat dengan mana-mana peraturan. Sudah pasti jentera yang dihasilkan lebih ekstrem. Inilah yang cuba dibuktikan oleh McLaren menerusi hasil tangan terbarunya iaitu 720S GT3X.
Menggunakan 720S GT3 sebagai asas, 720S GT3X dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang telah ditala bagi menghasilkan 710 hp, iaitu 200 hp lebih tinggi berbanding model asas itu. Apa yang lebih menarik, pemandu boleh menggunakan kuasa tambahan sebanyak 30 hp dengan menekan butang ‘push to pass’.
Peningkatan kuasa ini dicapai menerusi penggunaan pengecas turbo lebih besar dan manifold yang lebih besar, serta kepala silinder baharu. Sistem penyejukan turut dipertingkatkan bagi memastikan jentera ini mampu bertahan lebih lama ketika beraksi di litar lumba.
Sementara itu, komponen-komponen seperti dive plane, spoiler lebih besar, splitter hadapan dan diffuser turut ditambah bagi mendapatkan prestasi aerodinamik yang lebih baik. Suspensi yang digunakan adalah sama dengan 720S GT3 namun sistem breknya telah ditambah baik.
Ruang dalaman pula menampilkan rekaan sangkar keselamatan yang telah diubahsuai bagi memuatkan tempat duduk penumpang (jika pelanggan mahu). Trim gentian karbon pada papan pemuka dan konsol tengah serta stereng ala motorsport adalah antara beberapa kelengkapan yang disertakan secara standard.
Menurut McLaren, 720S GT3X adalah lebih pantas berbanding versi GT3 namun setakat ini syarikat itu masih belum mendedahkan sebarang angka berkaitan prestasinya.
No Comment