McLaren 765LT Dapat 1,000 HP Hasil Talaan Hennessey
Dengan 765 hp dan 800 Nm, 765LT adalah antara jentera McLaren paling berkuasa pernah dihasilkan. Namun, pasti ada pemilik yang akan mencari jalan untuk meningkatkan prestasi jentera mereka. Untuk itu, syarikat talaan terkenal iaitu Hennessey telah membangunkan pakej naik taraf untuk model tersebut.
Dikenali sebagai HPE1000, pakej tersebut merangkumi penapis udara yang lebih lawas, ECU yang dikalibrasi semula dan sistem ekzos keluli tahan karat yang membolehkan enjin 4.0-liter twin-turbo V8 itu menghasilkan 1,000 hp. Bukan itu sahaja, Hennessey juga akan memberikan kalibrasi dyno sebagai sebahagian daripada pakej itu.
Dari segi prestasi, kuasa tambahan sebanyak 235 hp itu membolehkan 765LT memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 2.1 saat, 0.6 saat lebih pantas berbanding versi standard. Kelajuan maksimum tidak didedahkan namun jentera itu dijangka mampu memecut melebihi 330 km/j.
Selain naik taraf mekanikal, pakej berkenaan juga mengandungi penambahan kosmetik seperti lencana “Hennessey” dan “HPE1000” untuk bahagian luaran, serta plak nombor siri pada papan pemuka dan pelindung enjin.
Hennessey menawarkan pakej naik taraf itu pada harga $24,950 (RM101,646), jumlah yang agak kecil bagi mereka yang mampu membeli sebuah 765LT. Di Malaysia, supercar itu dijual pada harga RM1,488,000 tidak termasuk cukai.
No Comment