Berita Auto

Mungkinkah Ini Perodua Alza Generasi Baharu?

Pertama kali dilancarkan pada 2009, MPV segmen B Perodua iaitu Alza sepatutnya sudah lama digantikan. Banyak laporan telah muncul sejak beberapa tahun kebelakangan ini tentang model seterusnya yang akan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), namun baru sekarang kita dapat melihat apa yang dikatakan mungkin menjadi Alza generasi kedua.

Alza baharu berkemungkinan akan diasaskan dari model minivan tujuh tempat duduk baharu Daihatsu, yang mana menurut bestcarweb.jp, akan dilancarkan pada Oktober tahun ini. Setakat ini, tidak banyak maklumat terperinci mengenai model itu namun ia dikatakan akan menggunakan platform DNGA yang turut digunakan oleh Daihatsu Rocky dan Perodua Ativa.

Laman web itu turut menyatakan bahawa minivan tersebut mungkin akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin, iaitu hibrid 1.5-liter daripada Toyota atau hibrid ringkas (mild hybrid) 1.3-liter yang dibangunkan sendiri oleh Daihatsu. Trenkuasa hibrid Toyota itu berkemungkinan besar diambil daripada Yaris Cross yang mempunyai kuasa keseluruhan sebanyak 116 PS.

Alza generasi seterusnya mungkin akan mendapat salah satu daripada trenkuasa tersebut, sekaligus menjadikan ia model hibrid pertama Perodua. Ini kerana pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad sebelum ini pernah memberikan bayangan tentang elektrifikasi, namun setakat ini syarikat itu masih belum membuat sebarang keputusan rasmi mengenai perkara itu.

Dari segi reka bentuk, imej render minivan berwarna hijau yang dipaparkan di atas sedikit sebanyak memberikan gambaran tentang rupa minivan Daihatsu yang akan datang itu. Tidak dinafikan, ia kelihatan agak menarik dengan rekaan gril heksagon dan bampar yang gagah, serta kemasan hitam di sekeliling badan. Minivan ini mungkin dilengkapi dengan pintu gelongsor bagi membolehkan Daihatsu menggunakan panel badan yang sama dengan Thor.

Dari segi dimenasi, bestcarweb berkata bahawa minivan itu mempunyai ukuran 4,100 mm panjang, 1,680 mm lebar, 1,700 mm tinggi, dengan ukuran tapak roda 2,710 mm. Jika ukuran ini benar, ini bermakna ia lebih kecil dan pendek berbanding Alza.

Menurut laman web itu, minivan Daihatsu itu juga lebih kecil berbanding Toyota Sienta. Bagaimanapun, rekaan bumbung yang lebih tinggi bermakna ia menawarkan ruang lega kepala yang lebih besar untuk penumpang dan juga kargo. Ini mungkin boleh menarik minat mereka yang ingin mendapatkan sebuah MPV yang mampu milik.

Previous post

BMW Untuk Mendigitalkan Bilik Pamerannya Di Seluruh Dunia

Next post

Mitsubishi Motors Malaysia Lancar Bilik Pameran Dalam Talian

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *