Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Nissan Navara Facelift Lancar Di Malaysia 16 April Ini

Nissan Navara facelift akhirnya tiba di Malaysia, empat bulan selepas ia diperkenalkan di peringkat antarabangsa. Menurut pengedar rasmi kenderaan Nissan di negara ini iaitu Edaran Tan Chong Motor (ETCM), trak pikap itu akan dilancarkan secara rasmi pada 16 April ini.

6.-BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-31

Navara PRO-4X yang dipertontonkan di pusat 4S Nissan Glenmarie hari ini merupakan varian tertinggi dalam barisan Navara. Ia mempunyai penampilan yang agresif, dengan gril ‘Interlock’ berwarna hitam dan rim 17-inci yang dibalut tayar jenis ‘all terrain’.

Selain gril dan rim, warna hitam juga dikenakan pada bahagian fender, pemegang pintu, cermin sisi, rel bumbung dan pemijak sisi. Di samping itu, logo Nissan ditampilkan dalam warna hitam dengan tulis berwarna merah sebagai kontras. ETCM menawarkan empat pilihan warna badan untuk Navara PRO-4X iaitu Stealth Grey, Burning Red, Pearl White dan Black Star.

Varian ini juga merupakan yang pertama dalam segmennya yang didatangkan dengan lampu projektor Quad LED berserta lampu nyalaan siang berbentuk C. Lampu LED belakang turut menampilkan signatur berbentuk C dan tulisan ‘Navara’ yang dicop pada tailgate.

Ruang dalaman pula menampilkan upholsteri kulit, tempat duduk Zero Gravity pada bahagian hadapan, serta tempat duduk belakang yang lebih selesa dengan sokongan peha dan penyandar melengkung. Bukan itu sahaja, tempat duduk belakang juga mempunyai perehat tangan lengkap dengan pemegang cawan. Kaca akustik pada cermin penghadang angin dan tingkap hadapan memastikan kabin lebih senyap.

Dari segi kelengkapan, varian ini mendapat paparan digital bantuan pemandu (ADAD) tujuh inci, skrin sentuh berukuran lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta stereng multifungsi yang dibalut kulit. Turut disertakan adalah tiga port pengecas USB-A dan satu port USB-C.

Navara PRO-4X dikuasakan oleh enjin turbodiesel YD25 2.5-liter empat silinder yang menghamburkan 190 PS pada 3,600 rpm dan 450 Nm pada 2,000 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan dengan mod manual.

Sebagai varian tertinggi, ia juga dilengkapi dengan beberapa ciri versatil yang meningkatkan kebolehgunaannya. Ini termasuklah Electronic Locking Rear Differential, Trailer Sway Assist, Tailgate Assist serta sistem Utili-Track Channel yang berfungsi memastikan barangan dapat diikat dengan lebih pantas dan mudah. Menurut Nissan, model ini mempunyai kadar muatan yang lebih tinggi 1.1 tan.

Dari segi keselamatan pula, Navara PRO-4X didatangkan dengan Intelligent Around View Monitor (I-AVM) dengan mod off-road, Intelligent Predictive Forward Collision Warning, Intelligent Forward Emergency Braking serta beberapa ciri lain seperti Driver Alertness, Lane Departure Warning, Rear Cross Traffic Alert, High Beam Assist, Blind Spot Warning dan Intelligent Moving Object Detection.

Previous post

BMW 5 Series Facelift Bakal Dilancarkan Di Malaysia

Next post

Model Harley-Davidson 2021 Kini Di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *