Peugeot 308 – Hatchback Paling Cantik?
Walaupun Peugeot sering dikaitkan dengan masalah selepas jualan, harus diakui bahawa divisyen reka bentuk syarikat itu menjalankan tugas mereka dengan cemerlang dengan melahirkan rekaan-rekaan yang menggiurkan. Buktinya, lihat sahaja 308 generasi baharu ini.
Seperti barisan model semasa Peugeot, pesaing kepada Volkswagen Golf ini kini menampilkan lampu nyalaan siang menegak seperti taring singa. Grilnya juga diberikan rekaan terkini, lengkap dengan logo baharu jenama yang diperkenalkan pada bulan lalu. Menurut pengeluar dari Perancis itu, varian GT/GT Pack didatangkan dengan lampu Matrix LED yang lebih tirus.
Penampilan garang hatchback ini diserlahkan lagi menerusi grafik cakaran singa pada lampu belakang, dan trim hitam yang merentasi tailgate. Dari segi ukuran, 308 lebih panjang dan rendah berbanding model terdahulu. Jarak rodanya juga bertambah sebanyak 55 mm, sekaligus menghasilkan ruang kabin yang lebih luas.
Terdapat tujuh warna yang ditawarkan untuk model ini iaitu Olivine Green, Vertigo Blue, Elixir Red, Pearl White, Ice White, Artense Grey dan Perla Nera Black. Rim didatangkan dalam saiz 16 hingga 18 inci.
Sementara itu, ruang dalamannya pula tidak ubah seperti kereta konsep dengan rekaan papan pemuka dan konsol tengah yang lebih moden berbanding sebelum ini. Selain stereng kompak multifungsi, pemandu mendapat panel instrumen digital berukuran 10 inci dengan beberapa mod paparan.
Di bahagian tengah papan pemuka pula terdapat skrin sentuh yang diletakkan lebih dekat dengan pemandu. Terletak di bawah skrin tersebut adalah panel sensitif sentuhan yang memberikan akses kepada fungsi-fungsi yang boleh ditetapkan sendiri oleh pemandu seperti sistem pendingin hawa, media, navigasi dan sebagainya.
Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuklah sistem arahan suara “OK Peugeot”, pencahayaan ambien dengan lapan pilihan warna, sistem audio Focal dengan 10 pembesar suara, soket USB-C serta sistem penapisan udara.
Untuk enjin pula, 308 ditawarkan dengan pilihan trenkuasa hibrid plug-in (PHEV), enjin petrol dan juga diesel. Versi PHEV boleh didapati dalam dua tahap kuasa iaitu 180 hp dan 225 hp. Walaupun mempunyai kuasa yang berbeza, kedua-duanya dilengkapi dengan motor elektrik 81 kW, pek bateri 12.4 kWj dan transmisi automatik lapan kelajuan.
Versi petrol pula menampilkan enjin 1.2-liter tiga silinder dengan 110 hp atau 130 hp, dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan (130 hp sahaja). Versi diesel pula menggunakan enjin 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 130 hp.
Pakej Drive Assist 2.0 memberikan model ini kebolehan pemanduan autonomi menerusi ciri Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop & Go dan Lane Keeping Aid. Turut disertakan adalah Blind Spot Monitoring, Rear Traffic Alert, kamera undur 180 darjah dan bantuan parkir 360 darjah.
No Comment