Toyota Bakal Perkenal Crossover Elektrik Di Shanghai Motor Show
Acara Shanghai Motor Show yang akan berlangsung pada bulan hadapan bakal menyaksikan kemunculan crossover elektrik saiz pertengahan terbaharu Toyota.
Menurut syarikat itu, crossover elektrik yang bakal dipertontonkan itu adalah model sama yang diacah pada Disember tahun lalu. Setakat ini, maklumat terperinci seperti nama dan spesifikasi masih menjadi tanda tanya, namun apa yang pasti ia dibina menggunakan platform e-TNGA yang dibangunkan secara bersama oleh Toyota dan Subaru.
Platform yang dikhususkan untuk kenderaan elektrik itu dikatakan sangat versatil dan mampu menampung kenderaan dengan ukuran dimensi yang berbeza-beza. Ia juga boleh menyokong konfigurasi satu, dua atau tiga motor elektrik, serta bateri dengan pelbagai kapasiti.
Tambah Toyota lagi, penggunaan platform itu juga membolehkan mereka menghasilkan kenderaan elektrik yang seronok dipandu serta mempunyai penampilan yang menarik. Pengeluar kenderaan dari Jepun itu juga sebelum ini pernah berkata bahawa ia mempunyai ukuran dimensi yang tidak jauh berbeza dengan RAV4.
Menurut laporan, crossover yang bakal membuat kemunculan di Shanghai itu merupakan model konsep yang sangat hampir dengan versi pengeluaran. Ia juga dikatakan akan dilancarkan di pasaran Eropah terlebih dahulu namun bila itu akan berlaku masih belum dapat dipastikan.
No Comment