Toyota Corolla Cross Akhirnya Masuk Pasaran Malaysia
Seperti yang dijanjikan, UMW Toyota Motor hari ini melancarkan Toyota Corolla Cross yang akan memberikan saingan sengit kepada Honda HR-V dalam segmen crossover kompak.
Diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, Corolla Cross untuk pasaran Malaysia ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.8V dan 1.8G. Masing-masing dijual pada harga RM134,000 (tanpa pengecualian cukai jualan) dan RM124,000 (dengan pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2021) di Semenanjung Malaysia, tidak termasuk insurans.
Sama seperti kebanyakan model terkini Toyota, Corolla Cross dibina menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang memberikan kedudukan graviti yang lebih rendah serta kerangka badan yang lebih kukuh. Bagi ujian ASEAN NCAP, model ini menerima pengiktirafan lima bintang.
Berbanding Corolla Sedan, Corolla Cross memiliki badan yang sedikit lebih pendek dengan panjang keseluruhan 4,460 mm. Bagaimanapun, ia lebih lebar sebanyak 45 mm dengan 1,825 mm dan 185 mm lebih tinggi dengan 1,620 mm. Ketinggian ini membolehkan jarak kelegaan tanah dinaikkan kepada 161 mm.
Varian 1.8G menggunakan lampu utama jenis projektor halogen, sementara varian 1.8V pula dilengkapi dengan unit Bi LED yang memberikan tahap pencahayaan lebih baik. Lampu nyalaan siang (DRL) menampilkan ciri “tirai cahaya” yang unik. Ciri sama turut diberikan untuk lampu belakang.
Di dalam, tema utama adalah warna hitam dengan kemasan balutan kulit bagi tempat duduk, dan penyudah cat satin pada bahagian lain. Pencahayaan LED pada bahagian pintu depan pula melahirkan suasana berkualiti tinggi. Untuk kemudahan pemandu pelbagai saiz, tempat duduknya didatangkan dengan ciri larasan elektrik lapan-hala.
Panel instrumen pula menampilkan Multi-Information Display (MID) 4.2-inci, manakala terletak di papan pemuka adalah paparan infotainmen sembilan inci dengan ciri Apple CarPlay, Android Auto USB Mirroring, AUX dan Bluetooth. Selain itu, ia juga memaparkan imej dari kamera undur.
Ciri-ciri lain yang disertakan termasuklah sistem pintar tanpa kunci, dan tailgate berkuasa elektrik dengan pengesanan gerak kaki pengguna. Ruang but pula mempunyai kapasiti 440 liter yang boleh dipertingkatkan lagi dengan merebahkan penyandar kerusi belakang.
Corolla Cross dikuasakan oleh enjin 1.8-liter petrol DOHC dengan Dual VVT-i yang berupaya menghasilkan 139 PS pada 6,400 rpm dan 172 Nm tork pada 4,000 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi Sequential Shiftmatic (CVT) dengan tujuh kelajuan.
Sistem keselamatan utama pada model ini adalah Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi ciri-ciri seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB). Turut disertakan adalah Peninjau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS).
Selain itu, ia juga didatangkan dengan Perakam Video Digital (DVR) di depan (ditawarkan sebagai pilihan untuk bahagian belakang), Sistem Telematik Kenderaan (VTS), tujuh beg udara dan cagak Isofix.
No Comment