Sukan

Toyota Gazoo Racing Festival Musim Ke-4 Bermula 27 Mac Ini

Berita baik untuk semua peminat sukan permotoran tempatan. Selepas ditangguhkan pada bulan lalu akibat PKP, Toyota Gazoo Racing Festival musim keempat akhirnya akan membuka tirainya dengan pusingan pertama di Litar Antarabangsa Sepang pada 27 dan 28 Mac depan.

Bagaimanapun, selaras dengan garis panduan dan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan, acara akan tersebut akan dilangsungkan secara tertutup. Orang ramai boleh menyaksikannya menerusi siaran langsung di toyota.com.my/tgrmalaysia/ dan juga di laman Facebook Toyota Malaysia dan Toyota Gazoo Racing Malaysia.

Selain kelas Promotional, Sporting dan Super Sporting, perlumbaan Vios Challenge ini musim ini bakal menjadi lebih menarik dengan pengenalan kelas baharu iaitu Rookie yang menampilkan enam graduan dari Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing. Mereka adalah Mika Hakimi (17), Naquib Azlan (20), Amer Harris (17), Jwan Hii (18), Putera Adam (14), dan Troy Eimann (16).

Selain itu, kelas Promotional yang melibatkan selebriti tempatan pula menampilkan tiga wajah baharu iaitu pelawak Zizan Razak, penyanyi Talitha Tan dan personaliti televisyen Ahirene Ahirudin. Mereka akan menyertai Shukri Yahya, Janna Nick, Nabil Ahmad, Wany Hasrita, Nabila Razali dan Khai Bahar.

Sementara itu, juara kelas Promotional musim lalu iaitu Shawn Lee bakal menyertai kelas Sporting yang dibarisi oleh pelumba-pelumba amatur seperti Bradley Benedict Anthony, Haji Sutan Mustaffa, Kenneth Koh, Adam Khalid, Dato’ Dr Ken Foo, Lim Chun Beng, Tom Goh, Mirza Syahmi dan Dannies Ng.

Dalam kelas Super Sporting pula, juara dua kali Vios Challenge dan duta Toyota Gazoo Racing iaitu Tengku Djan akan kembali ke grid untuk mempertahankan gelarannya. Satu lagi nama yang perlu diberi perhatian adalah juara kelas Sporting musim lalu iaitu Hayden Haikal yang berusia 16 tahun.

Selain Vios Challenge, Toyota Gazoo Racing Festival musim kali ini akan turut menampilkan siri perlumbaan Gazoo Racing Vios Sprint Cup dan Gazoo Racing Enduro Cup yang akan dilangsungkan bersempena dengan Sepang 1000km Endurance Race.

Previous post

Volkswagen Beri Tawaran Istimewa Sepanjang Mac

Next post

Nissan e-POWER's ICE Akan Zoom Melepasi Piawaian Industri

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *